PETALING JAYA – Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia ramai menyukai makanan pedas yang berasal daripada Korea seperti Samyang, Tteokbokki, Sos Gochujang dan pelbagai lagi sehingga memudaratkan diri sendiri.
Menerusi satu perkongsian video oleh salah seorang pengguna TikTok, wanita itu didakwa menghidapi kanser ovari dan penyakit cyst akibat kesan daripada makan-makanan pedas.
“Mak kata jangan selalu makan pedas nanti sakit, dan saya selalu cakap tak ada apa. Inilah jadi sebab tak dengar cakap mak ingatkan sakit perut biasa, rupa-rupanya kena kanser ovari dan penyakit cyst,” katanya dalam video itu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di ruangan komen, seorang pakar pemakanan wanita @Syazanutritionist menyatakan pedas bukan punca kepada penyakit itu tetapi ia disebabkan ‘process food’ (makanan proses).
“Maaf ini bukan soal pedas tapi lebih kepada ‘fast food’ (makanan segera) atau ‘process food’ (makanan proses) dan makanan yang tingkatkan keradangan,” jelas pakar pemakanan wanita itu.
Susulan perkongsian video itu, pelbagai reaksi telah diberi orang ramai dan mereka juga mendoakan wanita itu supaya cepat sembuh dari penyakit tersebut.
“Ini lebih kepada pemakanan ‘fast food’ (makanan segera), kurang makan sayur dan buah atau cara hidup ini bukan disebabkan rasa pedas,” kata @asyrie88.
“Saya pernah masuk wad sebab pedih perut, selalu makan benda pedas doktor suruh elakkan makan kalau tak lagi teruk dalam usus perut, semoga awak sentiasa sihat,” jelas @ainjamil_.
“Saya dapat gastrik sebab dulu memang suka makan pedas, sekarang tengah tanggung memang tak boleh makan pedas dengan minum air berkarbonat langsung,” ujar @wawa6340.
Sehingga kini, perkongsian video tersebut meraih lebih 290,000 tontonan dan 28,800 tanda suka di akaun TikTok miliknya – K! ONLINE.