PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh fokus nasional dibawah RMK-12 dengan sasaran lebih 55 peratus pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta mencapai 86.7 peratus kadar kebolehpasaran graduan TVET menjelang tahun 2025.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kementerian akan terus memperkukuh kolaborasi industri bagi memastikan TVET KBS kekal kompetetif, berdaya maju dan menjadi pilihan majikan.
Menurutnya, usaha ini selari dengan cadangan Majlis TVET Negara (MTVET) untuk memperkasa TVET melalui tiga teras strategik iaitu Tadbir Urus Bersepadu, TVET Mencorak Masa Hadapan dan TVET Dipacu Industri.
“Kolaborasi strategik merentas kementerian yang disokong oleh keterlibatan pihak industri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi Pendidikan dapat merancang serta melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagi modenisasi ILKBS, KBS akan membelanjakan RM25.5 juta dalam tempoh 2021 hingga 2025 untuk memperkukuh infrastruktur ICT dan menyokong Inisiatif Pendigitalan ILKBS bagi memenuhi keperluan Industri serta EkonomiGig menjelang tahun 2025,” katanya. – K! ONLINE