PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia seiring dengan prinsip kerajaan untuk sentiasa memastikan tiada seorang pun yang akan tercicir atau terpinggir.
Beliau berkata, yayasan berstatus badan rasmi peringkat nasional itu ditubuhkan di bawah Akta 258 dengan dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
“Badan itu akan berkolaborasi dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.
“Sehubungan itu, ingin saya mengingatkan kepada agensi dan pihak yang terlibat, permudahkan dan percepatkanlah sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada mereka,” katanya ketika berucap secara maya pada majlis pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, beliau berharap agar pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa lebih bersepadu melalui penubuhan yayasan tersebut.
Katanya, yayasan itu wajar menjadi asbab bagi semua pihak untuk memberikan yang terbaik, ke arah menterjemahkan aspirasi konsep Keluarga Malaysia.
“Justeru, berpaksikan keprihatinan, kepekaan dan komitmen berterusan kerajaan terhadap mahasiswa, saya berbesar hati mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan peruntukan dana permulaan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia ini.
“Dana yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan ini adalah tanda sokongan kerajaan dalam memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhannya tercapai,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, penubuhan yayasan itu secara langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
Katanya, sebagaimana dalam sebuah keluarga, setiap ahli yang susah, perlu dibantu bersama-sama dan nilai-nilai murni ini jugalah yang perlu diamalkan oleh setiap mahasiswa.
Ujarnya, amat mustahak bagi setiap mahasiswa melihat rakan-rakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan.
“Sehubungan itu, dengan tertubuhnya yayasan ini, tergalaslah amanah di bahu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) khususnya dan di setiap mahasiswa amnya, bagi memastikan tiada sebarang rakan yang memerlukan tercicir daripada dibantu.
“Demi melaksanakan usaha murni ini, saya menyeru kesemua mahasiswa supaya menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum,” katanya. – K! ONLINE