PETALING JAYA – Pelakon yang juga aktivisis kemanusiaan, Yatt Hamzah menzahirkan rasa gembira apabila dapat mengerjakan ibadah umrah walaupun seorang diri tanpa ditemani suami tercinta, Mohamad Zulfahdli Khairuddin.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Yatt atau nama lengkapnya Haryati Hamzah, 40, berkongsi foto dia ditemani keluarga termasuk anak-anak sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Tanah Suci.
“Ya Allah Kau Maha Baik. Terima kasih masih terima aku yang hina penuh dosa ini menjadi tetamu Kau lagi.
“Mohon doa kalian semua pengikut saya dalam media sosial. Bonda (panggilannya) umrah seorang diri kali ini tanpa suami dan anak-anak. Beratnya nak tinggalkan anak Allah SWT sahaja yang tahu,” jelas Yatt.
Pelakon yang pernah membintangi drama Dunia Baru itu bagaimanapun tidak berkongsi sebab suaminya tidak turut serta mengerjakan ibadah umrah bersamanya.
Dalam pada itu, Yatt berkata dia tekad untuk mengerjakan umrah walaupun seorang diri kerana menganggap perkara itu sebagai satu pengorbanan demi Rasulullah SAW.
“Demi Rasulullah SAW aku rela berkorban. Ya Allah kuatkan aku. Semoga beroleh umrah mabrurah (umrah yang diterima Allah SWT). Amin,” katanya.
Menerusi hantaran itu juga, Yatt turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kakitangan di KLIA kerana membantu memudahkan urusannya mengerjakan ibadah umrah.
Perkongsian Yatt turut mendapat doa dan sokongan daripada rakan-rakan artis mereka apabila turut berkongsi rasa gembira dan teruja.
“Seronoknya Ya Allah. Semoga selamat sampai dan dipermudahkan segalanya,” ujar pelakon Anita Baharom.
“Selamat mengerjakan umrah. Semoga dalam rahmatNya dan lindungan-Nya. Amin,” ujar aktres Datin Paduka Umie Aida.
Terdahulu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan pintu masuk ke negara tersebut untuk ibadah umrah bermula 10 November lalu selepas ditutup dalam tempoh lama akibat pandemik Covid-19.
Ibadah umrah kini boleh ditunaikan dalam norma baharu selepas kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk para Jemaah termasuk penggunaan aplikasi di telefon pintar bagi mendapatkan permit melakukan umrah berulang kali dan solat berjemaah di Masjidil Haram. – K! ONLINE