IPOH – Kesesakan teruk berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan sejauh 12 kilometer (km) dari Terowong Menora sehingga ke Jelapang akibat kemalangan di KM 256.3 arah utara menghala ke Kuala Kangsar.
Pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia menerusi laman Twitter memaklumkan, lorong kiri arah utara masih terhalang disebabkan kerja-kerja mengalihkan kenderaan.
Terdahulu, kemalangan melibatkan tiga buah treler yang berlaku pada pukul 5 petang tadi menyebabkan dua orang pemandu dan seorang kelindan cedera termasuk patah kaki.
Bagaimana pun pemandu sebuah lagi treler yang terlibat tidak mengalami kecederaan.
Sehingga pukul 11 malam laluan di Terowong Menora masih terhalang menyebabkan ratusan kenderaan terkandas.
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.11 petang.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa-mangsa.
“Dua mangsa lelaki India berumur 62 dan 55 tahun tersepit pada tempat duduk pemandu dan penumpang manakala seorang lagi mangsa pada lori lain berusia 50 tahun cedera parah.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun menaiki ambulans,” ujar jurucakap tersebut.-K! ONLINE