fbpx

Kemerduan gesekan biola pikat VIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMERDUAN irama muzik yang terhasil daripada gesekan biola Syahirah Ismail, 27, mampu membuatkan setiap telinga yang mendengarnya terpegun.

Daripada irama asli sehinggalah genre terkini melibatkan muzik dari negara luar, wanita yang lebih mesra dikenali sebagai Syerot ini mampu membawanya dengan baik.

Berpengalaman luas dalam mengendalikan biola, wanita ini juga pernah tular di media sosial selepas gesekan biolanya di Pusat Pemberian
Vaksin (PPV) Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam, Selangor pertengahan tahun lalu memberi ketenangan kepada penerima vaksin.

Atas kebolehan dan bakat yang dimilikinya itu juga, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik (Persembahan) daripada Universiti Teknologi Mara ini pernah dipanggil oleh Tun Siti Hasmah untuk berganding bersamanya dan memainkan lagu Ibu nyanyian seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam satu majlis.

Kenangan manis Syerot (kanan) ketika bergandingan dengan Siti Hasmah dalam satu majlis. 

“Saya mula bermain biola pada 2012 ketika berumur 18 tahun. Mungkin agak lewat untuk belajar muzik, tetapi atas dorongan daripada ayah yang mahu melihat saya menjadi seorang pemain biola, saya teruskan.

“Ditambah pula dengan keinginan saya yang memang ingin mempelajari biola kerana sebelum ini saya hanya tahu bermain gitar dan piano.

“Saya lihat biola merupakan sesuatu yang baharu dalam hidup saya,” katanya memulakan bicara.

Berbekalkan biola pemberian bapanya, Syerot mula mendalami instrumen tersebut.

Dari situ, dia berasakan ada nilai sentimental terhadap biola dan masih menggunakan hadiah pemberian bapanya sehingga ke hari ini.

Kongsi Syerot lagi, kerjayanya sebagai freelance musician bermula selepas dia mendapat undangan persembahan di satu majlis perkahwinan di Melaka. Pada waktu itu, dia hanya diberikan bayaran RM150.

Ketika membuat persembahan, Syerot sempat mengambil video persembahan untuk dijadika portfolio.

Ternyata, tuah begitu menyebelahi wanita ini apabila video yang dirakamnya itu membuka jalan kepada kerjayanya hari ini.

Sejak itu, dia mula mendapat tempahan untuk persembahan di majlis perkahwinan di seluruh Malaysia dan bergandingan dengan selebriti popular tanah air.

Begitupun akuinya, bukan mudah untuk mengendalikan biola dan dia mengambil masa yang lama untuk bermain dengan betul, selain berusaha mempertingkatkan kualiti dan teknik bermain.

“Cabaran mengendalikan biola ini ramai yang tidak tahu iaitu cuaca. Jika terlalu panas, kayu biola boleh rosak dan tali boleh cepat putus dan situasi ini juga berlaku pada cuaca sejuk.

“Disebabkan itu, saya menukarkan biola kayu kepada elektrik jika membuat persembahan di majlis outdoor. Biasanya, biola kayu saya akan fokus untuk tujuan rakaman dan persembahan orkestra kerana lebih sesuai,” tambahnya.

Ceritanya lagi, setiap kali ingin membuat persembahan, dia akan membawa dua buah biola bersamanya memandangkan dia pernah mengalami satu situasi mendebarkan 30 minit sebelum membuat persembahan.

“Setengah jam sebelum pengantin tiba, tali biola putus. Biarpun menukar kepada tali baharu, namun ia tetap putus kerana cuaca panas ketika itu.

“Apa yang saya lakukan pada waktu itu ialah membuat teknik fingering dan bertukar kepada posisi berbeza.

“Maksudnya, saya pakai tali yang masih tidak putus pada biola. Sejak itu, saya memang akan membawa dua biola ke mana-mana,” tambahnya.

Bagi gadis manis ini, biola sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ujarnya, lagu yang sering mendapat perhatian ialah lagu daripada filem Mohabbatein yang bertajuk Humko Hamise Chura Lo.

Boleh dikatakan setiap kali memainkan lagu tersebut, wanita ini mendapat tepukan gemuruh memandangkan ia sememangnya merupakan signatur instrumen biola.

Biarpun beliau kini dikenali ramai dan gesekan biolanya mendapat pujian umum, namun akuinya lagi, dia agak bergelut untuk mendapat tempat dalam industri pada awal penglibatannya memandangkan waktu itu persaingannya agak sengit.

Begitupun, selepas berjaya mencari sendiri identiti dan kekuatan yang ada pada dirinya iaitu menggunakan biola elektrik, semuanya menjadi mudah.

Ini kerana, pada waktu itu, tidak ramai pemain instrumen berkenaan menggunakan biola elektrik di negara ini.

“Selain bermain biola sebagai karier, saya juga mempunyai perancangan tersendiri yang mana saya sedang mengumpul wang hasil bermain biola untuk berniaga.

“Saya mahu membuka perniagaan francais kerana merancang untuk bersara sebelum umur mencecah 40 tahun.

“Bagaimanapun, saya tetap akan bermain biola sehinggalah saya sendiri mengambil keputusan untuk berhenti,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI