MISANO – Pelumba utama pasukan Repsol Honda, Marc Marquez enggan memikirkan mengenai peluang untuk mendaki carta kategori pelumba selepas mempamerkan prestasi cemerlang sejak menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) pada dua edisi yang lepas.
Sebagai rekod, Marquez yang juga juara Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) sebanyak enam kali itu berjaya mendominasi GP Amerika dan GP Amelia Rogmana untuk menduduki tangga keenam dengan 142 mata ketika perlumbaan berbaki dua pusingan.
Kata Marquez, meskipun berpeluang untuk menduduki sekurang-kurangnya tangga ketiga kategori pelumba secara keseluruhan, jaguh permotoran kelahiran Sepanyol itu hanya mahu memberi tumpuan terhadap prestasi berbanding memikirkan tentang kedudukan carta pelumba.
“Secara jujur, saya tidak fikir langsung mengenai kedudukan carta kategori pelumba kerana saya hanya fokus dengan prestasi diri sendiri di atas litar.
Sejak GP Austria pada Ogos, saya anggap diri ini adalah yang terbaik berdasarkan jumlah mata yang berjaya dipungut.
“Apa yang pasti, saya percaya rentas konsisten yang dipamerkan terutama menjuarai dua perlumbaan GP yang lepas memberi motivasi tambahan buat saya dan pasukan untuk menamatkan baki perlumbaan musim ini dengan cemerlang.
“Jika saya berjaya meraih kedudukan ketiga atau keempat teratas di penghujung musim, ia adalah bonus tetapi fokus utama sudah tentulah untuk mempersiapkan jentera bagi merampas semula kejuaraan MotoGP musim depan,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.
Pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo telah mengesahkan status juara musim ini dengan mengutip 267 mata diikuti Francesco Bagnaia (Ducati/202 mata), Joan Mir (Suzuki/175 mata), Johann Zarco (Pramac/152 mata) dan Jack Miller (Ducati/149 mata). – AGENSI