fbpx

Cintai Rasulullah SAW anugerah tidak ternilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM berselawat memberikan rasa cinta yang mendalam terhadap Rasulullah SAW sebagai insan kamil. – Gambar hiasan

UMAT Islam baru sahaja meraikan sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M yang diadakan dalam situasi norma baharu untuk memahatkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi Muhammad SAW.

Sudah begitu lama jarak masa Nabi SAW meninggalkan kita sebagai umatnya.

Media sosial dan di sana-sini riuh gamat mengalunkan selawat dan qasidah ke atas Baginda.

Adakah fenomena bermusim ini hanya diraikan sehari dua dan disambut lagi tahun depan dengan tiada meninggalkan kesan penghayatan jiwa insani dalam kehidupan seharian.

Banyak persoalan yang bermain di benak fikiran tentang dapatkah kita menumpang syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?

Dapatkah kita bertemu dan masuk syurga bersama baginda?

Adakah kita memahami bahawa tidak sempurna iman jika tidak mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi cinta kepada ibu bapa, anak dan manusia seluruhnya?

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna keimanan seseorang antara kalian hingga dia lebih mencintai aku daripada kedua-dua orang tuanya, anaknya dan manusia semuanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Allah turut berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Ali-Imran, ayat 31).

Secara hakikatnya, Nabi SAW mengemudi kita daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran.

Ia seperti yang terkandung dalam amanat terakhir baginda kepada ribuan jemaah haji pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah yang juga merupakan haji wida’ di Lembah Uranah, Bukit Arafah.

Nabi SAW turut berpesan agar semua umat Islam sentiasa menjaga hubungan sesama manusia dan saling mengingati dengan melakukan dakwah, kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup orang-orang kafir.

Oleh sebab itu, sebagai insan yang percaya akan dikembalikan kepada Allah, kita semua perlu sedar bahawa kehidupan di dunia sementara ini adalah suatu pengembaraan dan perjalanan menuju ke syurga yang abadi di akhirat nanti.

Maka, jauhilah daripada fatamorgana kehidupan duniawi yang bersifat sementara dengan saling ingat-mengingati antara satu sama lain.

Ia seperti sabda Rasulullah SAW daripada Ibnu Umar yang membawa maksud: “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang mengembara.” (Hadis riwayat Bukhari).

Secara analogi mudahnya, Nabi Muhammad SAW merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kepada kita semua sebagai umatnya yang merindui syurga Allah seperti yang dirakamkan dalam kitab suci al-Quran.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Anbiya, ayat 70 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Sementara itu, dalam surah lain, Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” (Surah al-Baqarah, ayat 119).

Dalam pada itu, Imam Junaid Al-Baghdadi yang merupakan seorang ahli tasawuf tersohor pernah berkata, ketinggian dan kemuliaan akhlak Rasulullah SAW hanya Allah yang ada di dalam hati baginda.

Ini menunjukkan, seseorang yang dirinya sentiasa mengingati pencipta-Nya, pasti memiliki akhlak yang paling tinggi daripada sekalian makhluk di atas muka bumi ini.

Bagi memberikan gambaran lebih tepat dalam perkara ini, Saad Ibnu Hisyam pula meriwayatkan, beliau pernah bertanya kepada Sayidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah SAW. Ummul Mukminin itu menjawab: “Akhlak baginda ialah al-Quran.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sebagai seorang Muslim, kita perlu mengharmonikan aspek takwa dalam kehidupan seperti dijelaskan Saidina Ali bahawa pengaplikasian takwa seperti orang berjalan di atas jalan yang penuh duri iaitu dengan berhati-hati, sabar, teliti, amanah dan jujur.

Ini sekali gus merangkumi semua sifat yang ada pada Nabi SAW.

Dalam hal berkaitan, antara akhlak Nabi SAW yang wajar diikuti juga adalah sifat pemaaf.

Firman Allah: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf (kebaikan) serta pedulikan orang bodoh.” (Surah al- A’raf, ayat 199).

Sifat pemaaf yang ada pada Rasulullah SAW antara lain boleh dilihat bagaimana baginda memaafkan penduduk Taif walaupun ditentang dan dibaling batu oleh pemuda Bani Thaqif sehingga kaki baginda berdarah.

Rasulullah SAW tetap mendoakan mereka supaya mendapat pengampunan Allah walaupun ditawarkan oleh malaikat Jibril untuk membinasakan mereka.

Justeru, dalam kesibukan masa mengejar urusan dunia yang tidak pernah habis, marilah kita gandakan selawat kepada Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda.

Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta

ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Daripada Abi Umamah, Rasulullah SAW bersabda: Banyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat.

“Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Hadis riwayat Baihaqi)

“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para malaikat-Nya akan berselawat kepadanya sebanyak 70 selawat, maka perbanyakkanlah seorang hamba dalam membacanya.” (Hadis Riwayat Ahmad).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI