fbpx

Penyeludup ugut mahu tikam anggota PGA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sabit yang digunakan penyeludup sewaktu mengugut dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 malam tadi.

Oleh ROHANA MOHD NAWI

KOTA BHARU – Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 diugut oleh seorang penyeludup dengan sebilah sabit dan ancaman tembak dalam kejadian berhampiran sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang malam tadi.

Kejadian ugutan berbaur amaran untuk menikam dan menembak anggota PGA itu berlaku kira-kira pukul 12.30 malam ketika mereka sedang menjalankan rondaan bermotosikal Ops Benteng sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, anggotanya cuba menahan lelaki terbabit dengan melakukan pemeriksaan pada badannya.

Katanya, bagaimanapun, lelaki itu enggan memberi kerjasama sebelum bertindak mengeluarkan sebilah sabit untuk mengugut anggotanya.

“Lelaki itu mengugut dengan kata-kata jangan masuk, saya ada pisau, kalau rapat saya akan tikam.

“Pada masa sama lelaki itu terus mencampak sabit itu ke dalam perahu dan terjun ke dalam sungai sebelum berenang ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad berkata, sambil berenang lelaki itu sempat mengeluarkan kata-kata berbaur amaran iaitu “peluru kat Thailand berharga RM2.50 saja boss, aku cam muko korang, nanti aku akan tembak semua polis yang buat rondaan”

Anggota berkenaan kemudian merampas sabit itu dan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Muhammad berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dan Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958( Akta 357). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI