fbpx

Tanah rizab selesai masalah parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL YUNUS (dua dari kiri) mendengar penjelasan daripada wakil penduduk semasa meninjau masalah parkir di Taman Kerian, Parit Buntar semalam.

PARIT BUNTAR – Penduduk Taman Kerian di sini lega apabila masalah parkir melibatkan pekerja sebuah kilang elektronik yang berlarutan sejak 30 tahun lalu akhirnya selesai apabila kerajaan negeri menawarkan ta­nah rizab untuk dijadikan tempat letak kenderaan.

Difahamkan, sebelum ini penduduk dibelenggu masalah tersebut apabila para pekerja mele­takkan kenderaan mereka di kiri kanan bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, sebahagian tanah rizab seluas 0.8 hektar itu akan dipajak kepada pihak kilang bagi membolehkan pekerjanya meletakkan kende­raan.

“Hasil perbincangan menerusi inisiatif kerajaan negeri berjaya mencapai persetujuan sekali gus menyelesaikan kemelut,” ujarnya selepas membuat tinjauan ke lokasi tersebut semalam.

Turut serta ialah wakil penduduk dan pihak pengurusan kilang.

Wakil penduduk, Jasni Ahmad, 56, melahirkan rasa syukur kerana isu yang membelenggu warga setempat dapat diselesaikan secara muafakat.

Katanya, isu berkenaan telah beberapa kali disuarakan kepada pihak-pihak yang berkenaan sebelum ini.

“Sebelum siapnya kawasan itu saya berharap pihak kilang dapat menyelaraskan peraturan pada kakitangan mereka agar meletak kereta secara teratur dan tidak mengganggu lalu lintas,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kilang AEL Engineering, Lee Chong Leong berterima kasih atas keprihatinan kerajaan ne­geri untuk memajak tanah rizab tersebut bagi kegunaan pihak kilang.

“Kita ada menyewa sebidang tanah untuk dijadikan tempat letak kenderaan pekerja tetapi masih tidak mencukupi.

“Sementara menantikan tempat parkir baharu siap, pihak pengurusan kilang juga akan memastikan semua kenderaan pekerja diletakkan hanya pada sebelah bahu jalan sahaja,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI