fbpx

Mahkamah arah budak tiga tahun diserah kepada JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret Kanak-kanak baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Keputusan itu dibuat selepas Majistret Norfarahain Roslan menolak permohonan Siti Bainun,29, selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut.

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun ketika ditemui berkata mahkamah membuat keputusan itu atas alasan berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, mana-mana ibu angkat yang ingin menjaga atau mengambil anak angkat warga negara republik itu perlu berusia 30 tahun ke atas dan telah berkahwin selama lima tahun.

Sehubungan itu kanak-kanak perempuan tersebut akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras (RKKTBC) selama tiga tahun.

Bagaimanapun menurut peguam itu, pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini.

Sementara itu empat lagi kanak-kanak yang dalam permohonan sama, mahkamah menetapkan 2 dan 16 November ini untuk pendengaran seterusnya sebelum hak penjagaan diputuskan.

Siti Bainun ,29,  dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan tersebut melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut adalah juga bagi pembatalan perintah interim yang di berikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI