PEMBINAAN Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) antara Pahang ke Kelantan amat signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik terutamanya ketika waktu puncak dan musim cuti perayaan selain merancakkan ekonomi melalui aksesibiliti ke lokasi-lokasi pelancongan di negeri terbabit.
Pembinaan jalan yang dilaksanakan secara berperingkat amat dinantikan dan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat kerana memberikan manfaat besar khususnya keselesaan perjalanan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika pembukaan laluan Bentong Bypass sepanjang 28.5 kilometer pada 7 Oktober lalu berkata, pembinaan CSR itu bertujuan memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya.
Katanya, projek berimpak tinggi menghubungkan Kelantan sehingga Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 di Bentong sepanjang 306.8 kilometer (km) itu melibatkan kos keseluruhan RM7.3 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Beliau menegaskan, meskipun melibatkan kos besar, namun pembinaan laluan itu amat signifikan kerana jalan Persekutuan sedia ada dari Bentong ke Kota Bharu merupakan jalan utama dengan kepadatan trafik tinggi terutama pada musim perayaan.
Kini setelah 89.25 kilometer jalan yang dibina secara berperingkat itu siap, timbul pula isu yang memberikan bebanan kepada pengguna jalan raya di situ.
Sampah sarap yang dibuang di tepi jalan sememangnya menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu. Bukan sahaja sampah yang dibuang, malah terdapat botol-botol berisi air kencing ditemui di tepi jalan CSR dari Lipis ke Kelantan.
Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Pahang, Sharudin Hamid berkata, masalah sampah sememangnya menjadi antara isu di laluan tersebut khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Katanya, pihaknya yang sentiasa melakukan pemantauan dan pembersihan turut mengenal pasti botol-botol berisi air kencing yang dibuang pengguna jalan raya.
Isu pembuangan sampah dan botol air kencing sebenarnya memberikan makna tersirat kepada keperluan kawasan rehat dan tandas yang amat mendesak bagi kemudahan pengguna di laluan berkenaan.
Tandas merupakan isu yang harus diberi perhatian kerana walaupun perjalanan selesa tetapi disebabkan tidak dapat melepaskan ‘hajat’ sudah tentu segala keselesaan itu akan lenyap dan bertukar kepada bebanan dan keresahan.
Tanpa adanya kemudahan itu pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung bersama anak-anak dan keluarga pastinya menghadapi kesukaran sehingga ada yang terpaksa membawa bekal dan berhenti di tepi jalan untuk makan selain berehat.
Keadaan ini juga boleh mengundang bahaya kemalangan jalan raya kepada pengguna yang berhenti di tepi jalan bersama keluarga, apatah lagi ketika bersama-sama dengan anak-anak kecil.
Meskipun ia merupakan jalan Persekutuan, namun ketiadaan kedai-kedai makan dan stesen minyak di sepanjang laluan berkenaan membuatkan pembinaan kawasan rehat menjadi mustahak.
Wajarlah laluan sepanjang 306.8km yang dijangka siap pada 2026 itu mempunyai kemudahan tempat rehat khususnya tandas.
Kepada yang berkenaan, buatlah sesuatu, binalah tandas untuk rakyat. Jangan mengajar kencing dalam botol ketika negara berada dalam abad ke-21. -K! ONLINE