HARI ini, tumpuan lebih 32 juta rakyat Malaysia adalah ke arah Bajet 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat.
Rata-rata rakyat meletakkan harapan tinggi untuk melihat Bajet 2022 dapat membantu memulihkan semula kehidupan mereka terutama golongan yang terjejas untuk bangkit kesan pandemik Covid-19.
Belanjawan kali ini juga diharap dapat membina semula perniagaan yang terjejas sehingga ramai tauke gulung tikar. Sejak kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi merentas negeri bermula 11 Oktober lalu, ekonomi negara dan rakyat nampaknya mula bernafas seperti ada sinar di hujung terowong.
Penurunan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini juga adalah masa terbaik untuk merancakkan semula ekonomi rakyat melalui aktiviti orang ramai seperti melancong, membeli-belah, bersosial dan bersukan.
Paling dinantikan sudah tentu bantuan segera kepada kelompok paling terjejas seperti mereka yang kehilangan pekerjaan, penjaja, peniaga kecil serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).
Mereka yang kehilangan pekerjaan pastinya berharap akan dapat bekerja semula sama ada dalam syarikat sama atau menceburi bidang baharu.
Golongan itu telah banyak dibantu termasuk yang terbaharu pemberian one-off Bantuan Kehilangan Pendapatan akibat Covid-19 sebanyak RM500.
Bantuan secara tunai sememangnya membantu golongan itu, tetapi ia sekadar jangka pendek. Pancing perlu disediakan supaya mereka dapat berdikari dalam mencari rezeki.
Golongan penjaja, peniaga kecil dan pengusaha IKS yang terjejas teruk akibat Covid-19 pula berharap ada habuan untuk mereka dalam Bajet 2022. Bantuan modal perniagaan dengan kadar ‘bunga’ yang rendah antaranya yang membantu untuk bangkit semula.
Golongan ibu tunggal atau kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 juga berharap bantuan kali ini tidak hanya tertumpu kepada kebajikan, sebaliknya memberi peluang anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Petani, nelayan, penoreh, pesawah dan penternak setiap tahun pastinya ada peruntukan besar untuk kumpulan ini sama seperti golongan berpendapatan rendah.
Cuma golongan pertengahan dibimbangi akan tersisih daripada menerima bantuan. Kalau dapat pun biasanya pengurangan cukai. Mungkin kali ini ada lebih besar habuan yang diperoleh untuk memulihkan semula ekonomi.
Bagi orang kerajaan pula, pemberian bonus amat ditunggu-tunggu. Jika ada kenaikan tangga gaji, itu umpama durian runtuh. Imbuhan kepada kumpulan barisan harapan wajib diberikan sebagai membalas pengorbanan mereka dalam memerangi Covid-19.
Setiap kali pembentangan bajet, penuh dengan seribu satu harapan jutaan rakyat Malaysia. Namun kali ini harapan mereka adalah untuk bangkit semula daripada segala keperitan, kepedihan, kesusahan dan kesukaran hidup akibat Covid-19. -K! ONLINE