fbpx

Nasib Norhisam, Abdullah dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELUARGA Mohd. Norhisam bersyukur kerana sumbangan diterima dapat meringankan beban kewangan yang dialami selama ini.

PASIR PUTEH – Seorang bekas buruh di Pelabuhan Tok Bali, di sini, hilang kudrat sehingga tidak mampu lagi untuk bekerja selepas kaki kanan hingga ke paras lutut membengkak akibat jangkitan kuman sejak lima tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Mohd. Norhisam Jali, 39, yang tinggal di Kampung Dalam Rhu di sini, terpaksa menahan kesakitan seperti dicucuk jarum pada bahagian kaki yang membengkak setiap hari.

Menurutnya, selepas hilang punca pendapatan, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Selain itu, saya dan lima anak turut berharap kepada hasil jualan kuih-muih yang dihasilkan isteri, Maznah Othman, 37, dengan pendapatan kasar RM60 sehari,” katanya.

Keluarga malang ini ditemui di rumahnya pada sesi penyerahan bantuan bersempena Program Jelajah Ikhlas anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd.

Berkongsi satu lagi kisah malang, seorang lelaki kini tinggal sebatang kara di sebuah bangsal dibina menggunakan ranting dan dahan pokok gelam dalam kebun getah di Kampung Bukit Pak Junuh, Pasir Mas sejak tujuh tahun lalu.

Pondok sempit berukuran kira-kira sembilan meter persegi dihuni Abdullah Busu, 59, itu juga tiada kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan tiada tandas.

ABDULLAH (kiri) menerima sumbangan daripada wakil Media Mulia di rumahnya di Kampung Bukit Pak Junuh, Pasir Mas baru-baru ini.

Menurut Abdullah, keadaan itu menyebabkan dia hanya bertemankan pelita pada waktu malam dan menggunakan sumber air perigi selain menggunakan dapur kayu untuk memasak.

“Saya berpindah ke sini selepas berpisah dengan isteri tujuh tahun lalu. Saya ada dua anak lelaki berusia 20-an dan 30-an yang sudah berumah tangga.

Saya tidak mahu menyusahkan mereka dan rela mencari rezeki sendiri dengan cara mengambil upah kerja-kerja kampung.

“Ketika ini, saya mengambil upah menebang pokok, menebas, memotong rumput, menoreh getah dan membaiki rumah penduduk di sekitar kampung ini.

Pendapatan itu mencukupi untuk menampung keperluan makan dan minum saya seorang diri,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI