MENCEBURI perniagaan pada usia yang agak lewat tanpa pengalaman selalunya agak berisiko, apatah lagi jika perniagaan yang dijalankan itu sesuatu yang bersifat luar kepakaran.
Namun, berbekalkan semangat tinggi membuatkan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah tekad untuk memulakan perniagaan berkaitan kosmetik biarpun sebelum ini sudah sukses mengusahakan bisnes ikan arowana.
Jamal, 62, berkata, beliau memilih untuk menjadi rakan bisnes kepada jenama produk penjagaan kecantikan Zarania memandangkan syarikat berkenaan memiliki reputasi tinggi apabila pernah mengeluarkan produk jenama Natasya yang mampu bertahan di pasaran lebih 10 tahun.
Jelas bapa kepada empat anak itu, idea kerjasama itu tercetus apabila dia melihat hobi isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin yang gemar berhias cantik dan bersolek setiap masa.
“Jadi saya jalin kerjasama dengan Zarania sebagai hadiah sempena isteri saya hamil anak kami yang ketiga.
“Walaupun saya teruja dengan bisnes baharu ini, namun saya akui perasaan bimbang itu tetap ada kerana ini pertama kali saya menceburi bidang kosmetik.
“Tapi saya percaya produk ini boleh pergi jauh dan mungkin ini permulaan dalam bidang ini dan kalau ada rezeki, kami akan keluarkan pelbagai lagi produk kosmetik lain,” katanya.
Pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir menambah, buat masa ini sebanyak sembilan produk telah berada di pasaran dengan harga mampu milik yang bermula serendah RM25 hingga RM49.
Malah, sebagai penghargaan kepada lagu popularnya, katanya set Azura turut diperkenalkan dengan menawarkan harga pakej lebih jimat yang mana pembeli berpeluang untuk menang pelbagai hadiah menarik.
“Satu perkara tentang keistimewaan produk Zarania ini apabila semua rangkaian produknya dihasilkan kilang tempatan yang memiliki sijil bertauliah oleh Amalan Pengilangan Baik (GMP).
“Malah, bahan kandungan dalam produk ini selamat digunakan, sesuai untuk semua peringkat umur selain kualiti setanding dengan produk antarabangsa. Kalau hendak tahu apa lagi keistimewaan produk ini, orang ramai mestilah kena cuba produk ini,” ujarnya.
Jamal menambah, dia dan rakan kongsi turut menyasarkan jualan bukan hanya dalam Malaysia tetapi optimis untuk menembusi pasaran Brunei, Indonesia dan Singapura.
Jamal Ubaidillah Mohd. Ali turut meluahkan rasa syukur apabila rangkaian produk Zarania kini semakin menjadi pilihan pengguna yang boleh didapati secara atas talian.
“Saya bersyukur apabila sepanjang pandemik masih ramai yang membeli produk ini biarpun secara dalam talian.
“Lagi pula, ini juga antara strategi pemasaran syarikat sekarang untuk memberi fokus kepada jualan di atas talian,” katanya.