Oleh SYED AZLAN SAYID HIZAR
KANGAR – Sebanyak 40 unit kenderaan peronda polis yang dilengkapi teknologi Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) akan digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara mulai Januari tahun hadapan.
Penggunaan teknologi iCOPS itu bukan sahaja mampu membantu polis mengesan pesalah trafik, malah pelaku kes jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, penambahan sebanyak 20 unit iCOPS pada tahun lalu meluaskan lagi skop operasi dan penugasan anggota.
“iCOPS menggunakan teknologi kamera Automated Number Plate Recognation (ANPR) sejak 2015 dan ketika itu lebih tertumpu kepada mengesan kesalahan trafik sekitar Lembah Klang.
“Pada tahun lalu, fungsi iCOPS dipertingkatkan dengan menyimpan data saringan kenderaan bagi membina pangkalan profil data dalam Pusat Data iCOPS,” katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan iCOPS di pekarangan Hotel Seri Malaysia di sini hari ini. – K! ONLINE