fbpx

Isu topi keledar hangatkan perbahasan RUU Pengangkutan Jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Isu pemakaian topi keledar di kalangan pemimpin politik menghangatkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke membangkitkan isu itu semasa sesi perbahasan dengan menayangkan gambar-gambar pemimpin parti UMNO yang tidak memakai topi keledar semasa membonceng motosikal.

Ujarnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan perlu memakai topi keledar walau hanya di jalan kampung.

“Tetapi ramai orang melihat remeh perkara ini (tak pakai topi keledar) termasuk pemimpin-pemimpin negara, menteri, ahli parlimen terutamanya ketika kempen pilihan raya kecil (PRK).

“Saya nak tunjuk beberapa contoh, dalam kempen PRK Slim baru-baru ini, yang pertamanya Ahli Parlimen Pekan iaitu Mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), (hanya) pakai songkok,” katanya semasa perbahasan sesi pagi di Bangunan Parlimen hari ini.

RUU dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim kemudian bangkit untuk membela Najib dengan menyatakan beliau hanya pergi solat Jumaat.

Anthony Loke kemudian menunjukkan gambar pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa; calon BN untuk PRK Slim Mohd. Zaidi Aziz, dan juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Gambar-gambar ini saya akan hantar kepada pihak JPJ dan saya sarankan penguatkuasa JPJ hantar saman kepada orang-orang ini,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Menteri Pengangkutan berkata, isu topi keledar itu penting untuk dibahaskan untuk mengelakkan dwistandard kerana ada penduduk kampung pernah disaman kerana tidak memakai topi keledar.

Perbahasan mengenai topi keledar bersambung pada sesi petang apabila Abdul Azeez membangkitkan mengenai ketidakpatuhan itu yang turut dilakukan oleh pemimpin di pihak PH.

“Saya dapat lebih daripada 10 gambar pemimpin pembangkang termasuk Ketua Pembangkang (tak pakai topi keledar), saya akan hantar semua kepada you,” kata Azeez.

“Baling, hantar semua, termasuk Ketua Pembangkang, saman juga,” celah Anthony.

Ka Siong ketika menyentuh mengenai isu itu menggesa semua pemimpin untuk menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi peraturan jalan raya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI