fbpx

30 ekor gajah liar cari makanan dekat jalan raya Hulu Tembeling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kawanan gajah liar berkeliaran mencari makanan tanpa mempedulikan kehadiran manusia berdekatan pinggir hutan Jambatan Relop, Kampung Kuala Sat, Jerantut semalam.

JERANTUT – Senario gajah liar berkeliaran dan berulang alik antara hutan dengan  pinggir kampung dan ladang sawit merupakan pandangan biasa bagi penduduk pedalaman Hulu Tembeling di sini.

Ini berkemungkinan besar kerana haiwan liar berkenaan sudah ketiadaan habitat dan kawasan rayau mencari makanan di hutan simpan Hulu Tembeling yang telah diteroka untuk perladangan dan sebagainya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam sekumpulan 30 ekor gajah liar dewasa dan lima anak merayau mencari makanan di sekitar Kampung Kuala Sat di Hulu Tembeling dekat sini.

Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaluddin, 57, berkata, dia bersama dua orang rakannya yang dalam perjalanan ke Kampung Bantal terserempak dengan kawanan gajah liar itu berkeliaran di pinggir hutan berdekatan jambatan di jalan raya Kampung Kuala Sat di sini.

“Saya dalam perjalanan ke Kampung Bantal, tiba-tiba ternampak kawanan haiwan liar ini tidak jauh daripada Jambatan Relop sedang merayau-rayau mencari makanan di pinggir hutan di sini.

“Kumpulan gajah ini menarik perhatian kami kerana haiwan ini langsung tidak mempedulikan manusia dan bunyi kenderaan di sini malahan terus mencari makanan seperti daun pokok kecil dan mematahkan tumbuhan yang boleh dimakan,”katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di sini hari ini.

Zulkifli berkata, dia sempat merakamkan gambar sambil mengira bilangan gajah liar itu sebanyak 30 ekor termasuk lima ekor anak yang turut mencari makanan.

Katanya, dia kerap terserempak dengan haiwan liar itu melintas jalan di kawasan Bukit Awan berdekatan Kampung Pagi hingga Kampung Kuala Sat pada sebelah petang dan malam kerana kawasan itu masih ada sumber makanan termasuk ladang sawit dan tanaman pertanian penduduk berkenaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI