GEORGE TOWN – Sembilan penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun merisikokan diri sendiri apabila menaiki sebuah bot tanpa lesen di perairan negeri ini semalam.
Bot berkenaan ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang semasa Op Pertiwi kira-kira pukul 5.40 petang di kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Uban dekat sini.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tanpa nombor pendaftaran itu ditahan ketika dalam perjalanan membawa penumpang untuk melakukan aktiviti memancing.
“Bot penumpang tersebut dikendalikan tekong warga tempatan berumur 17 tahun sambil membawa sembilan penumpang warga tempatan termasuk seorang kanak-kanak berumur di antara 8 hingga 64 tahun.
“Kita dapati pengendalinya gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang semasa pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bot berkenaan kemudiannya diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban di sini sebelum tekong dan penumpang dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
“Kami ingin tegaskan kepada semua pemilik dan tekong bot supaya sentiasa memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang.
“Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar agar tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu beroperasi tanpa lesen bot sah yang boleh didenda sehingga RM10,000 jika didapati bersalah.
Menurutnya, orang ramai yang ingin membuat aduan salah laku jenayah maritim atau melaporkan kejadian kecemasan diminta menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999. – K! ONLINE