JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyamar menggunakan gelaran ‘Datuk Seri Panglima’ untuk menipu.
Tertuduh, Feroz Musa, 47, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Majistret Zuhainie Zull Kafli.
Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu berdepan dua pertuduhan mengakui diri sebagai pemegang sah anugerah Datuk Seri Panglima masing-masing pada pukul 3.12 petang, 23 Jun 2020 di Larkin Perdana dan 3.20 pagi, 8 Januari di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda.
Pendakwaan dibuat di bawah Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang membawa hukuman denda sehingga RM250,000 dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa menggunakan gelaran sama untuk memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun sehingga memasukkan RM11,600 ke dalam akaun tertuduh pada 24 Disember 2020 hingga 5 Januari lalu di Maybank Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan. -K! ONLINE