PETALING JAYA – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat ‘panas’ apabila dikecam orang ramai berhubung hantaran terbaharu di Instagramnya hari ini.
Menerusi perkongsian itu, Sajat berkata, dia berasa hairan kenapa orang ramai masih mahu mengecam dia memakai bikini sambil menegaskan dia sudah tidak menetap di Malaysia lagi.
“Kamu semua memang tak boleh tengok orang senang, saya dah kata Australia ini negara bebas kenapa nak kecam seolah-seolah saya duduk di Malaysia.
“Boleh tak selepas ini jangan menyibuk,” katanya.
Menurut Sajat, dia juga enggan dikaitkan dengan agama dan meminta semua pihak menghormati sebagai ‘human being’.
Dalam pada itu, Sajat turut menjelaskan, dia kini gembira berada di Australia kerana negara itu bebas termasuk berpakaian seksi.
Pada 18 Oktober lalu, Sajat berhijrah ke Australia selepas dipercayai mendapat kelulusan ‘tiket’ kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Sebelum itu, Polis Diraja Malaysia mengesahkan Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand bersama ketika serbuan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Pada 9 September lalu, Sajat didakwa di mahkamah Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara berkenaan dan dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat oleh seorang warga tempatan.
Kosmo! baru-baru ini, melaporkan Sajat bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis di negara ini selepas pemfailan pemiutang dilakukan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini – K! ONLINE