KUALA LUMPUR – Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gagal mendapat kenaikan pangkat atau jawatan disyaki ‘dalang’ yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan wujudnya pembelian pangkat dalam pasukan itu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya percaya mereka yang menyebarkan wujudnya kegiatan itu kerana gagal untuk mendapatkan pangkat atau jawatan lebih tinggi.
“Saya yakin pihak yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapat kenaikan pangkat atau jawatan mungkin bertanggungjawab menyebarkan tuduhan tersebut.
“Mereka yang kecewa akan mula menyebarkan khabar angin mengenai amalan rasuah dan pilih kasih dalam pasukan keselamatan itu, terutamanya apabila ada pegawai-pegawai yang lebih muda terpilih.
“Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan, kita dapati tidak ada sebarang keterangan atau bukti menunjukkan wujudnya kegiatan membeli pangkat dalam pasukan kita,” ujarnya.
Menurutnya, proses kenaikan pangkat dan jawatan dalam pasukan itu perlu melalui prosedur yang ketat memandangkan jumlah calon yang layak lebih ramai berbanding kekosongan yang ada.
“Sebelum kenaikan pangkat diberi, terdapat juga syarat lain yang mesti dipenuhi. Sebagai contoh, untuk jawatan Superintendan, apabila ada satu jawatan untuk itu, tetapi jumlah calon yang layak mungkin ada sehingga 10 orang atau 20 orang.
“Tidak semestinya DSP paling senior akan dapat jawatan tersebut. Ada kemungkinan jawatan itu tidak sesuai untuk dia.
“Kadang-kadang jawatan berkenaan perlu diisi oleh pegawai yang cergas dari segi fizikal, maka calon yang sesuai mengikut umur dan lebih muda yang akan dapat.
“Selain itu, terdapat juga beberapa isu lain yang perlu diberikan pertimbangan yang mana seseorang calon itu mesti benar-benar layak. Ada jawatan yang tak sesuai untuk pegawai dari jabatan lain,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! pada 25 Oktober lalu mendedahkan dakwaan wujudnya kegiatan pembelian pangkat dalam PDRM sehingga mencecah RM100,000 khususnya dalam kalangan pegawai kanan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepertimana dilaporkan laman Twitter Edisi Siasat. – K! ONLINE