LONDON – Pasukan Chelsea cemas sebelum mara ke suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selepas terpaksa memerlukan penentuan sepakan penalti apabila terikat 1-1 ketika berdepan Southampton awal pagi semalam.
The Blues bernasib baik apabila mereka berjaya menewaskan Southampton dengan kemenangan 4-3 selepas diasak hebat pasukan pelawat itu di Stamford Bridge.
Bagaimanapun, Kepa Arrizabalaga muncul wira Chelsea selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Will Smallbone dan Theo Walcott sekali gus menafikan tempat skuad The Saints dalam kelompok lapan terakhir
“Kami berdepan beberapa perubahan pada saat akhir kerana tiga pemain kami berpotensi untuk mengalami kecederaan sekali gus tidak dapat diturunkan pada perlawanan ini.
“Tiada banyak pilihan yang dapat diturunkan ketika berdepan Southampton. Kami tahu, ini kali pertama mereka bermain seperti ini dan keadaan menjadi tambah sukar ketika Southampton terus memberi tekanan.
“Apa pun, ia adalah perlawanan yang cukup menarik, malah persembahan terbaik yang dipamerkan kedua-dua pasukan. Pada akhirnya kami menang menerusi penentuan sepakan penalti,” kata pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.
Pada perlawanan tersebut, Chelsea turun tanpa khidmat penyerang terbaiknya iaitu Romelu Lukaku dan Timo Werner yang dihimpit kecederaan.
Bagaimanapun, Chelsea mendahului perlawanan itu menerusi jaringan cantik Kai Havertz pada minit ke-44, tetapi Southampton bangkit menerusi jaringan penyamaan menerusi Che Adams pada babak kedua perlawanan. – AGENSI