IPOH – Taman tema Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Taiping akan dibuka semula pada 3 November ini mengikut pematuhan (SOP) yang ditetapkan setelah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Menurut kenyataan, pelbagai pakej promosi dengan harga menarik ditawarkan untuk menarik lebih banyak pengunjung beriadah dan bersantai di sana.
BMLR dalam satu kenyataan berkata, harga tiket masuk ke taman air hanya RM25 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak menerusi pembelian secara online.
Turut ditawarkan adalah promosi menginap RM168 untuk dua orang bagi bilik deluxe di Laketown Hotel.
“Harga pakej termasuk sarapan pagi, masuk ke taman air dan aktiviti berkayak atau berbasikal.
“Pengunjung juga boleh memilih pakej percutian mewah di Seri Teratai Suite Kampung Air dengan hanya RM398 untuk dua orang termasuk sarapan pagi dan makan malam,” jelas kenyataan tersebut.
Pakej mewah ini juga termasuk aktiviti berkayak atau berbasikal.
Selain itu, pelbagai aktiviti riadah serta lasak boleh didapati di taman tema ini seperti permainan paintball serta melawat ke Pulau Orang Utan.