ALOR SETAR – Seorang pegawai pertanian berjaya mengusahakan tanaman anggur dengan buah yang manis dan berkualiti di halaman rumahnya di sini sejak 2001.
Menurut Zairizal Zainon, 41, dia kini mempunyai kira-kira 100 jenis pokok anggur dari pelbagai negara seperti Ukraine dan Jepun.
“Antara variasi yang ada ialah Akademik, Dixon, Veles dan Krasothka yang sangat digemari ramai,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, dia mula menanam anggur di halaman rumah di Taman Merbau pada 2001 dengan dua variasi anggur sahaja dan tidak menyangka hasil kajian serta minatnya dengan tanaman itu berjaya mengeluarkan buah yang berkualiti.
“Selepas melihat hasil tanaman yang baik, saya terus mengorak langkah dengan meluaskan kawasan tanaman itu di tanah lot seluas 0.14 hektar berhampiran Taman Chengal di sini,” ujarnya.
Zairizal berkata, dia membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk membina rumah pelindung hujan dan kini semua tanamannya itu sudah mengeluarkan hasil.
“Setiap kali musim buah, ramai yang datang ke kebun anggur saya dan antara variasi yang paling digemari ialah Akademik dari Ukraine kerana buahnya hitam, manis dan rangup.
“Mereka turut bergambar yang mana suasananya seperti berada di luar negara. Saya tidak pernah menjual kepada pihak luar kecuali mereka yang berkunjung ke kebun anggur untuk merasai serta memetik buah yang segar saya ini secara bersedekah,” jelasnya.
Menurutnya, hasil kajiannya, anggur sangat sesuai ditanam di negara ini terutamanya di utara tanah air kerana musim panas ketara akan menyuburkan tanaman serta memaniskan buah.
“Saya mendapati setiap kali memetik anggur pada musim kemarau terutamanya pada Januari dan Februari, buahnya sangat manis dan setanding dengan buah di negara Eropah,” katanya.
Zairizal memberitahu, dia mampu memetik antara 50 hingga 60 kilogram (kg) anggur pada setiap musim.
“Teknik Tanam Anggur Cepat Berbuah (TACB) yang dihasilkan mampu mengeluarkan hasil seawal lima bulan dan terbaharu tanaman berbuah adalah pada Ogos lalu,” katanya.