PETALING JAYA – Kegembiraan sekumpulan pemuda melakukan aktiviti riadah mandi di air terjun bertukar tragedi apabila dua daripada mereka terjatuh ketika sedang leka bergambar.
Menerusi satu klip video berdurasi 51 saat yang tular di laman media sosial Facebook sejak semalam, kelihatan kesemua pemuda itu sedang asyik bergambar di kawasan air terjun tersebut.
Kemudian, salah seorang daripada mereka tergelincir dan melanggar seorang lagi rakannya sebelum kedua-duanya terjatuh dari air terjun yang tinggi itu.
Bagaimanapun, tarikh kejadian, lokasi dan keadaan terkini dua orang mangsa terbabit tidak dimaklumkan.
Orang ramai turut memberi pelbagai reaksi terhadap insiden tersebut.
“Sebab itu saya tidak suka tempat-tempat macam ini, kalau nak pergi air terjun pun suka yang santai-santai.
“Biasanya bujang-bujang memang suka tempat-tempat sebegini, bahaya kalau lupa diri macam ini, leka,” kata Yuyon Zuraimee.
“Dah tahu batu dekat air terjun licin naik tinggi buat apa, kan dah jatuh itu entah pecah kepala atau patah tangan kaki ke? kata Pakwetpakwet Pakwetpakwet.
Sementara itu, Mazuki Yaakob berkata, beliau yang pernah merasai pengalaman hampir serupa, mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati di kawasan air terjun bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini berlaku.
“Berhati-hatilah di tempat seperti ini, sebab sangat berbahaya, batu berlumut dan licin, jatuh kalau atas batu di bawah itu boleh cedera teruk.
“Saya pernah kena di air terjun Lata Iskandar di Tapah, Perak satu masa dahulu, naik ke atas, kemudian jatuh, nasib baik jatuh di dalam air, kalau atas batu, tidak tahu nak ceritalah,” katanya. – K! ONLINE