fbpx

Penunggang Agama 2, watak paderi beri impak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Penunggang Agama 2 memberi pengajaran berguna bahawa agama tidak sepatutnya dijadilkan modal untuk mengaut keuntungan wang ringgit.

ADA beberapa perkara menarik yang ditonjolkan dalam Penunggang Agama 2, sebuah filem televisyen arahan dan lakon layar sutradara muda, Syafiq Yusof.

Pertama, kewujudan karakter paderi bernama Father Michael yang dijayakan Tony Eusoff. Keduanya, realiti ‘penunggang agama’ yang semakin membarah dalam masyarakat, sebagai subjek utama naratif filem televisyen berdurasi 90 minit tersebut.

Sejujurnya, Syafiq yang duduk di bangku pengarah berjaya mengembangkan plot penceritaan dari filem pertama dengan baik, namun tidak semua dicernakan atau diterjemahkan dengan sempurna.

Dari aspek teknikal seperti efek bunyi dan sinematografi, Syafiq masih lagi dibayangi DNA abangnya, Syamsul Yusof yang telah terlebih dahulu mencipta nama sebagai pengarah hebat.

Memandangkan naskhah berkenaan dibikin atas skal filem televisyen, barangkali perihal tersebut tidak dititikberatkan dengan sewajarnya.

Penulis sebenarnya sangat tertarik dengan karakter Father Michael. Jika dikembangkan dengan lebih baik, watak tersebut pergi jauh dan mungkin lebih memberi impak kepada penonton.

Bukan Tony Eusoff tidak menjalankan peranannya dengan baik, namun secara peribadi, karakter yang dibawanya dalam filem ini sekadar tempelan sedangkan potensi terjemahan karakter untuk berkembang sangat luas.

ANTARA babak dalam Penunggang Agama 2 yang membuatkan penonton ‘sakit hati’ terhadap sikap mementingkan saham dunia segelintir agamawan.

Plot cerita

Idea penceritaan Penunggang Agama 2 sudah bagus, namun terasa ada kekosongan. Hasilnya, agak berkecamuk sehingga membuat penulis sedikit canggung untuk menghabiskan durasi sejam lebih menonton filem ini.

Menyentuh kualiti lakonan Zul Ariffin sebagai Ustaz Amir, adakalanya, rasa seperti mahu menyelinap masuk ke dalam skrin televisyen dan kata kepadanya, ‘orang Islam jangan buat begini, buat malu agama sahaja’.

Bagaimanapun, itu realiti kehidupan. Bukan dalam Islam sahaja ada penyakit ‘memperkudakan’ agama, dalam mana-mana agama lain tetap perihal itu menjadi suatu yang sukar dibendung.

AKTOR Zul Ariffin kembali membawa peranan sebagai Ustaz Amir dalam Penunggang Agama 2.

Kimia

Cetusan kimia antara watak Ustaz Amir dan isterinya, Anna (Azira Shafinaz) tidak menghampakan. Cumanya, penonton mungkin sudah terbiasa dengan adegan tampar menampar, hari ini sayang esok lusa bergaduh disebabkan hal kecil seperti dalam slot Akasia. Itu tercetus antara Ustaz Amir dan Anna yang mungkin boleh diperbaiki lagi.

Keseluruhannya, Penunggang Agama 2 masih memiliki asas yang kuat untuk dibentangkan, namun terjemahan naratif kurang kemas menjadikannya longlai di skrin televisyen.

Syabas buat Syafiq dan pasukan untuk karya kali ini dan jangan berhenti menghasilkan naskhah berkualiti demi kemajuan industri seni tanah air.

Merupakan kesinambungan filem pertama, Penunggang Agama 2 mengisahkan Ustaz Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama. Pada masa yang sama, seorang anak murid Anna bernama Anim hilang secara tiba-tiba sejurus pulang dari kelas mengaji yang dikendalikannya.

WATAK Father Michael yang dijayakan Tony Eusoff (kiri) mencuri tumpuan dan menjadi antara watak penting dalam menyelesaikan kes kehilangan seorang kanak-kanak.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI