KOTA KINABALU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Tiger Platon Batalion 16 serta cawangan perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah merampas 1,890 karton minuman keras jenama Cool Beer disyaki tidak bercukai bernilai RM475,883 dalam operasi Op Kontraban di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur kelmarin.
Dalam operasi sekitar pukul 10 malam itu, pasukan operasi mengesan sebuah kontena yang ditinggalkan bersama sebuah lori treler dalam keadaan berkunci tanpa penjaga.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, selepas pemerhatian selama tiga jam, pasukan operasi kemudiannya melakukan serbuan dan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan ke atas kontena sepanjang 12 meter terbabit menemui 1,890 karton minuman keras jenama Cool Beer dipercayai tiada bercukai.
“Semua minuman keras berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rani menyatakan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori treler dan kontena dianggarkan bernilai RM595,833 berdasarkan harga pasaran semasa dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967. – K! ONLINE