Oleh NOOR HASLIZA NUSI
BALIK PULAU – Polis berjaya menahan dua suspek lelaki yang cuba meragut beg tangan seorang wanita hingga mangsa mengalami kecederaan parah dan patah beberapa anggota badan dalam kejadian pada 12 Ogos lalu.
Suspek lelaki berusia 16 dan 24 tahun itu diberkas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di kawasan Balik Pulau awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A Anbalagan berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan pihaknya sejak dua minggu berhubung laporan kejadian kes rompakan hingga menyebabkan kecederaan seorang mangsa wanita berusia 53 tahun.
“Siasatan lanjut, suspek turut terlibat dengan beberapa lagi kes jenayah di negeri ini khususnya di Balik Pulau.
“Semakan polis juga mendapati suspek berusia 24 tahun baru sahaja dibebaskan dari hukuman penjara awal Ogos lalu atas kesalahan jenayah,” katanya di sini tadi.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek yang tidak bekerja dan memiliki rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada 12 Ogos lalu, seorang pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah daerah ini patah tulang tangan kiri, pipi kiri dan kanan serta hidung selepas beg tangan cuba diragut dua suspek ketika menunggang motosikal di Jalan Air Putih kira-kira pukul 5 petang. – K! ONLINE