SEJAK awal bulan lalu, sebahagian besar masyarakat di negara ini menghabiskan cuti hujung minggu dengan beriadah bersama keluarga.
Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan di atas kebenaran rentas negeri bagi individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk bercuti ke tempat-tempat menarik di dalam negara.
Ketika bercuti, rata-rata daripada kita memilih untuk bermalam di hotel atau inap desa sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
Hakikatnya, tidak semua lokasi percutian menuntut anda untuk bermalam, sebaliknya ia boleh dilakukan secara percutian pendek.
Percutian pendek bermaksud aktiviti bercuti yang dilakukan dalam tempoh setengah hari atau seharian sahaja.
Biasanya, lokasi percutian pendek terletak antara satu atau dua jam perjalanan dari rumah anda. Bagi warga kota, tempat percutian pendek adalah seperti Port Dickson, Negeri Sembilan dan Bagan Lalang, Selangor.
Salah satu kelebihan percutian pendek adalah dapat berjimat dari segi penginapan dan makanan.
Malangnya, percutian pendek akan membuatkan masa anda agak suntuk untuk meneroka tempat-tempat menarik.
Minggu ini, Horizon ingin berkongsi perkara-perkara yang perlu ditekankan bagi memaksimumkan keseronokan ketika percutian pendek.
1. Rancang perjalanan
Apabila melakukan percutian pendek, biasanya ada tidak mempunyai banyak masa.
Jadi, penting untuk menyenaraikan tempat-tempat yang ingin dilawati.
Jangan bimbang sekiranya senarai tempat ingin dilawati terlalu panjang.
Utamakan tempat yang paling ingin dilawati terlebih dahulu.
Sekiranya berlaku sesuatu perkara diluar jangkaan ketika percutian, anda boleh masukkan tempat lawatan lain yang disenaraikan sebelum ini.
2. Barang perlu
Sebahagian daripada kita cenderung untuk membawa barang secara berlebihan.
Mereka memikirkan perkara-perkara berkaitan dengan perubahan cuaca atau aktiviti.
Sebaiknya, bawa barang yang betul-betul diperlukan sahaja. Lagi pula, ia hanya percutian pendek yang tidak memerlukan terlalu banyak barang.
Langkah ini bukan sahaja meringankan beban ketika mengangkat beg, malah menjimatkan ruang di dalam kenderaan.
3. Buat bajet
Setiap perkara melibatkan perjalanan memerlukan bajet, begitu juga percutian pendek. Justeru, penting untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi percutian pendek anda.
Jangan sesekali menghabiskan duit gaji anda hanya untuk percutian pada hujung minggu.
Justeru, elakkan daripada membelanjakan wang di luar bajet seperti makan di restoran atau membeli barangan cenderahati yang mahal.
Dalam zaman serba canggih ini, anda boleh merancang bajet percutian dengan hanya menggunakan aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar.
4. Acara tempatan
Pastikan anda sentiasa memeriksa program yang bakal diadakan di tempat percutian anda.
Biasanya, tempat-tempat percutian sentiasa menjadi tumpuan kepada pengajuran festival seperti pesta makan, konsert atau fun fair.
Misalnya, Port Dickson sering menjadi tumpuan penganjuran pertandingan memancing di tepi pantai.
Justeru, anda tidak akan terlepas untuk sebarang aktiviti menarik ketika melakukan percutian pendek.
5. Nikmati masa lapang
Jangan sesekali merancang jadual perjalanan anda terlalu padat dengan aktiviti.
Pastikan, terdapat masa lapang antara satu hingga dua jam dalam jadual. Ini bagi membolehkan anda menghabiskan masa bersantai atau meneroka sesuatu perkara menarik yang tidak terdapat dalam jadual.
Masa terluang ini juga boleh dimanfaatkan dengan membeli barangan cenderahati untuk dibawa pulang.