KUALA LUMPUR- Kerajaan Perikatan Nasional menarik semula dua Rang Undang-Undang(RUU) daripada dibentang untuk bacaan kali kedua.
Dua RUU itu adalah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019.
RUU pertama itu berkait dengan tempoh dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri, manakala RUU kedua berkaitan dengan badan yang menyiasat aduan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Takiyuddin Hassan menarik balik kedua-dua RUU berkenaan selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.
“Saya mohon mencadangkan menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon menarik balik DR 42/2019 RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dan DR 25/2019 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 seperti yang tertera di nombor enam dan tujuh aturan urusan mesyuarat hari ini,” katanya.
Takiyudin sebelum ini dilaporkan berkata, RUU IPCMC akan ditarik balik dan diganti dengan RUU baharu, namun tiada makluman dilaporkan mengenai penarikan balik RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dibentangkan pada Disember 2019 untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan dijadualkan untuk dibahaskan pada Mac lalu. -K! ONLINE