GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil serius isu kandungan plumbum di dalam produk cat di pasaran kerana ia berbahaya kepada kesihatan awam.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya meminta kerajaan menyegerakan pembentukan undang-undang bagi menghapuskan penggunaan kandungan berkenaan di dalam cat.
Menurutnya, CAP telah menyuarakan perkara tersebut sejak kira-kira 30 tahun lalu, namun isu itu belum selesai.
Beliau berkata, kajian pihaknya pada 1992 mendapati tujuh daripada sembilan cat enamel yang diuji mengandungi plumbum melebihi 600 bahagian persejuta (bps), manakala pada 2016, 16 daripada 39 sampel mengandungi 600 bps dan 12 sampel mengandungi melebihi 10,000 bps.
“Kajian CAP tahun lalu terhadap cat semburan mendapati, 12 daripada 48 sampel mengandungi plumbum di mana dua daripada sampel mengandungi melebihi 10,000 bps.
“Pada 2019 pula, analisis kami mendedahkan 11 daripada 17 peralatan taman permainan mempunyai paras plumbum juga melebihi jumlah itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya Mohideen, plumbum merupakan racun terkumpul yang boleh menjejaskan sistem tubuh terutamanya kepada kanak-kanak, ibu mengandung dan individu yang terdedah kepadanya.
“Plumbum berbahaya pada semua paras pendedahan dan sebaik memasuki tubuh, ia tersebar ke organ seperti otak, buah pinggang, hati dan tulang.
“Kesan pendedahan kepada plumbum termasuklah masalah pembelajaran, meningkatkan risiko tingkah laku anti-sosial, mengurangkan kesuburan serta meningkatkan risiko penyakit buah pinggang dan kardiovaskular,” katanya lagi. – K! ONLINE