PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak berkuasa Malaysia membawa bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner ke negara ini untuk disoal siasat berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib berkata, kehadiran individu berkenaan penting bagi membolehkan dirinya mendapatkan perbicaraan yang adil khususnya bagi kes 1MDB yang dihadapinya di mahkamah ketika ini.
Menurutnya, kehadiran Leissner adalah bukti yang amat penting bagi membantu membersihkan namanya daripada skandal kewangan 1MDB itu.
“Justeru, hari ini, saya dinasihat dan terpanggil untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Leissner supaya pihak berkuasa Malaysia boleh membawanya ke negara ini untuk disoal siasat.
“Pada tahun lalu, Leissner telah mengaku salah di mahkamah bahawa beliau pernah menyogok beberapa individu dari syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang nama-namanya tidak didedah secara umum,” katanya pada sidang akhbar di lobi SPRM hari ini.
Menurut Najib, akibat daripada pengakuan bersalah itu, syarikat Goldman Sachs bersetuju membayar ganti rugi sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.4 bilion) kepada kerajaan Malaysia tahun lalu.
Bahkan, katanya, pada awal tahun ini, peguamnya berjaya memenangi kes di Amerika Syarikat untuk mendapat senarai nama dalam pengakuan Leissner.
Bagaimanapun, Najib berkata, kerajaan Amerika Syarikat melalui Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah membantah keputusan mahkamah Amerika Syarikat dan telah menghalang nama-nama tersebut didedahkan.
“Pada masa itu, seorang peguam dari syarikat guaman terkenal Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng pernah mengeluarkan kenyataan media bahawa senarai nama tersebut adalah bukti “exculpatory” atau “exculpatory evidence” yang boleh membersihkan nama saya sebagai terlibat dalam penipuan 1MDB.
“Susulan itu, pada pertengahan tahun ini, barisan guaman saya juga pernah meminta mahkamah dan pihak pendakwaan untuk mendedahkan senarai nama tersebut tetapi usaha kami tidak kesampaian,” katanya. – K! ONLINE