fbpx

Nak beli kucing Scottish, guru tadika rugi RM69,030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Hasrat seorang guru tadika untuk membeli kucing jenis Scottish secara dalam talian terkubur apabila kucing yang diidamkan tidak dapat, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM69,030.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa iaitu wanita berusia 25 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Paroi semalam selepas menyedari dirinya tertipu dan bimbang gambar dokumen peribadi yang dikongsikan akan disalahgunakan individu berkenaan.

Menurutnya, mangsa telah membuat sebanyak 14 transaksi sejak tertarik dengan iklan penjualan haiwan peliharaan kucing jenis scottish yang berada di Indonesia dalam laman sosial Facebook kira-kira pukul 10.52 pagi, 23 Oktober lalu.

“Mangsa berminat untuk membeli dan telah berurusan dengan penjual kucing tersebut di nombor telefon +62 895-3241-29741. Mangsa bersetuju untuk membeli seekor kucing dengan harga RM 900. Mengikut perbincangan awal, mangsa hanya perlu membayar separuh harga dan selebihnya akan dibayar setelah mendapat kucing tersebut.

“Pada hari yang sama, kira-kira pukul 11.55 pagi, mangsa telah membuat pindahan wang berjumlah RM450 ke akaun Hong Leong bank dengan nombor 3385 1035 867 atas nama Tansiaupenga Siagian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aibee berkata, setelah pindahan dibuat mangsa telah diberitahu kucing tersebut telah diposkan dan sepanjang proses pengeposan kucing tersebut mangsa dikehendaki membayar beberapa wang sebagai prosedur.

Menurutnya, mangsa telah membuat 14 transaksi ke dua buah akaun iaitu akaun RHB, 1020 6900 4503 42 dan Maybank, 1600 3736 6616.

“Mangsa yang telah memberikan gambar kad pengenalan dan alamat rumah kepada individu tersebut berasa bimbang akan disalahgunakan dokumen berkenaan dan segera membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam urusan pembelian secara dalam talian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI