VERPOOL – Penyerang Everton, Richarlison mengakui, dia gembira dengan peranan yang diberikan oleh pengurus, Rafa Benitez pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pemain antarabangsa Brazil itu menjelaskan, dia lebih selesa beraksi sebagai penyerang utama berbanding di bahagian sayap ketika berada di bawah kendalian Carlo Ancelotti dan Marco Silva.
Richarlison percaya, Benitez mampu membantunya untuk kembali menemui sentuhan berbisa kerana menganggap corak permainannya lebih sesuai sekiranya bermain di posisi serangan.
“Selepas Benitez dilantik sebagai pengurus Everton, saya lebih banyak bermain di jentera serangan tengah. Secara jujur, itu adalah posisi yang lebih selesa untuk saya.
“Saya percaya peranan yang diberikan Benitez kepada saya musim ini akan membantu prestasi saya apabila beraksi bersama Brazil. Saya fikir peluang untuk jaringkan gol lebih tinggi di posisi ini,” katanya.
Justeru, Richarlison sedia memberikan segala-galanya pada saingan musim ini sebab dia lebih yakin kerana Benitez memberi kelebihan kepadanya beraksi di posisi asal.
“Sekarang saya akan lebih dekat pintu gol pasukan lawan. Saya akan berikan segala-galanya kerana saya ada sasaran peribadi musim ini untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin,” ujarnya. – AGENSI