LIVERPOOL – Kapten Liverpool, Jordan Henderson berharap pasukannya dapat meneruskan aksi sempurna selepas membelasah Manchester United 5-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford Ahad lalu.
The Reds akan berkunjung ke Stadium Deepdale awal pagi esok untuk menentang pasukan Liga Kejuaraan, Preston North End pada pusingan 16 pasukan terakhir Piala Liga Inggeris.
Justeru, Henderson menggesa rakan-rakan sepasukan agar mengekalkan momentum tersebut biarpun berdepan Preston yang dianggap sebagai pasukan kerdil pada perlawanan itu nanti.
“Kemenangan ke atas United adalah sesuatu yang cukup hebat, lebih-lebih lagi apabila menjaringkan banyak gol serta tidak bolos. Sudah tentu ia beri lebih keyakinan kepada kami.
“Saya anggap kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk bermain lebih baik dan maju ke hadapan. Kami mahu teruskan aksi seperti ini apabila turun pada aksi EFL nanti,” katanya.
Liverpool pastinya tidak akan memandang mudah aksi menentang Preston kerana mereka memerlukan momentum terbaik menjelang pertemuan dengan Brighton serta Atletico Madrid pada saingan Liga Juara-Juara minggu depan.
“Kami tidak boleh leka dengan kemenangan besar itu kerana masih banyak perlawanan yang perlu diharungi. Selepas ini, fokus kami adalah untuk cuba tidak melepaskan banyak gol pada perlawanan akan datang,” ujar Henderson. – AGENSI