Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor ( LZS) menggunakan sistem Program Sinergi Sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial ( Perkeso ) bagi membantu penempatan pekerjaan golongan asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M. Yusop berkata, ini berikutan program tersebut mempunyai Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang memberikan lebih peluang kepada asnaf dalam permohonan kerja mereka.
Katanya, menerusinya juga golongan asnaf yang bekerja sendiri akan mendapat perlindungan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Ini seterusnya mewujudkan ekosistem perlindungan keselamatan sosial yang lebih holistik kepada penerima zakat di bawah kami.
“Selain itu, memastikan tiada prospek yang tercicir daripada menerima bantuan di samping dapat memenuhi tanggungjawab, amanah dan fungsi masing-masing dalam perspektif keselamatan sosial dan mengurangkan kadar kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Kolabrasi (MoC) Program Sinergi Sosial bersama Perkeso yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed yang disaksikan Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ahli Lembaga Perkeso, Datuk Ahmad Nadzaruddin Abdul Razak di sini tadi.
Sementara itu, Mohammed Azman memberitahu, pihaknya telah membangunkan sistem dalam talian, MySynergy bagi membantu golongan sasaran mendapatkan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh.
Ujarnya, sebanyak 32 agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah mengesahkan penyertaan dalam
Program Sinergi Sosial yang telah dilaksanakan sejak 7 Ogos 2018 dengan 1,250 prospek dari seluruh negara telah menerima bantuan daripada agensi terlibat.
“MySynergy dibangunkan menerusi Program Sinergi Sosial yang merupakan platform keselamatan sosial yang pertama di negara ini yang berupaya menjana tiga jenis data iaitu data-data individu yang telah, sedang dan belum dibantu oleh pihaknya.
“Justeru, penerima faedah Perkeso, asnaf dan miskin akan mendapat manfaat perlindungan itu dengan setiap agensi dalam program ini akan diberikan akses kepada sistem MySynergy,” katanya. -K!ONLINE