KUALA LUMPUR- Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberitahu, amalan menulis suhu badan ketika memasuki premis perniagaan sebenarnya tidak mengikut ‘advisory’ tatacara yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Katanya, advisory yang dikeluarkan pada 29 Mei lalu bagi pengumpulan, pemprosesan, dan penyimpanan data peribadi oleh pemilik premis perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tidak pernah menggariskan catatan suhu badan.
“Ada sedikit kekeliruan, kalau kita pegi premis perniagaan dia menulis suhu badan, ini (sebenarnya) tidak wajib, dan mengikut advisory, (amalan) ini adalah salah.
“Jadi sekarang negara kita membuat amalan salah menulis suhu badan (ketika memasuki premis),” katanya ketika sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang ingin tahu apakah aplikasi-aplikasi digital yang dilancarkan kerajaan semasa wabak Covid-19 untuk menejak virus serta keberkesanannya.
Ujarnya, tatacara itu menggariskan bahawa premis perniagaan hanya perlu merekodkan nama, nombor telefon, tarikh, dan masa kehadiran pengunjung.
Dalam pada itu, Zahid berkata tiada keperluan untuk negeri-negeri mewujudkan aplikasi lain.
“Kita minta janganlah ada aplikasi-aplikasi lain sebab kita lihat ada permohonan dari negeri untuk membuat aplikasi selain daripada aplikasi MySejahtera.
“MySejahtera ditadbir oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, jadi biarlah ada satu sahaja kementerian yang mentadbir, kita minta kerjasama tak payah buat (aplikasi lain),” tambahnya. -K! ONLINE