fbpx

Buka Warung Rezeki bantu orang susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD>YUSOF (kanan) di Warung Rezeki Muafakat yang diusahakan di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi selepas berhenti kerja di Singapura akibat pandemik Covid-19.

KOTA TINGGI – Telah 13 tahun bekerja di Singapura dan meraih pendapatan hampir RM10,000 sebulan sudah cukup menggambarkan sisi kemewahan Md. Yusof Zainul suatu ketika dahulu.

Namun kini, bekas eksekutif sebuah syarikat swasta itu reda apabila rezekinya di Kota Singa tidak kekal lama.

Md. Yusof yang menetap di Taman Sri Saujana di sini berkata, walaupun tidak lagi semewah dahulu, dia tetap gembira dengan rezeki baharu yang diceburi iaitu menjual sarapan pagi.

Bapa kepada dua orang anak itu menambah, usahanya membuka ‘Warung Rezeki Muafakat’ adalah untuk membantu golongan ibu-ibu di taman berkenaan bagi menjana ekonomi mereka dengan cara menghantar hasil jualan di kedainya.

“Sebelum ini, saya bekerja di Singapura selama 13 tahun sebagai eksekutif bagi operasi makanan dan minuman (F&B). Gaji terakhir kira-kira RM10,000 sebulan.

“Bagaimanapun, ketika Co­vid-19, saya diberi pilihan sama ada tinggal di Singapura dan terus bekerja atau berhenti kerja dan kembali ke tanah air.

“Perasaan ketika itu sudah tentu sedih, namun saya reda atas ketentuan dan percaya rezeki itu Allah yang atur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, dia bersyukur apabila mendapat ilham untuk menjual sarapan pagi dan mampu meraih pendapatan sekitar RM150 ke RM250 sehari.

Tambahnya, tidak dinafikan terdapat perbezaan pekerjaan dahulu dan berniaga, tetapi apa yang penting adalah keberkatan rezeki.

“Terdapat seramai 14 orang ibu-ibu yang membuat kuih dan menghantar jualan mereka ke kedai ini. Semuanya ada lebih 50 menu sarapan terdiri daripada makanan berat, kuih-muih, makanan barat dan ma­nisan.

“Memang niat asal saya adalah membantu ibu-ibu yang terputus bekalan dan yang ingin membantu suami kehilangan kerja.

“Alhamdulillah, dapatlah membantu mereka menjana pendapatan dalam keadaan sekarang ini di mana ramai yang tiada pekerjaan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya lagi.

Katanya kini warung rezeki muafakat diusahakan itu juga menjadi kedai terpanjang yang menjual kuih dan aneka sarapan pagi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI