KUALA LUMPUR- Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan yuran asrama dan yuran perkhidmatan universiti awam sehingga 15 peratus bagi meringankan beban penuntut warganegara akibat penularan wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, pengurangan itu adalah hasil rundingan dengan Kementerian Kewangan setelah mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dan universiti awam.
“Pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019-2020 untuk pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM72 juta dan seramai 523,318 pelajar universiti awam di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini.
“Pengurangan yuran ini adalah tambahan daripada bantuan-bantuan lain seperti, bantuan secara one-off sebanyak RM200 kepada setiap pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat melibatkan peruntukan sebanyak RM168.3 juta yang memberi manfaat kepada 841,464 pelajar,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
Mansor menjawab soalan daripada Datuk Azizah Mohd. Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu status yuran pengajian semester IPT awam dan swasta yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19, serta apakah inisiatif kerajaan berkaitan sistem pembelajaran online pelajar IPT yang tinggal di luar bandar dan memerlukan capaian internet.
Menjawab soalan kedua, Mansor memaklumkan, kementerian telah berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenalpasti capaian liputan internet mengikut keberadaan pelajar untuk tujuan pemetaan liputan capaian internet.
“Kementerian telah memanjangkan 800 maklumat lokasi kemudahan pusat internet di bawah seliaan SKMM kepada universiti awam yang boleh diakses semua pelajar secara percuma.
“Kita juga menggalakkan untuk mengakses internet yang sedia ada di universiti awam berhampiran semasa berada di luar kampus,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Mansor berkata kerajaan tidak mempunyai peruntukan untuk membayar kos kuarantin pelajar tempatan yang pulang daripada luar negara. -K! ONLINE