JAM tangan pintar kini boleh dikatakan antara peranti yang harus dimiliki kerana mempunyai pelbagai fungsi.
Maka tidak hairanlah, kini banyak jam tangan pintar daripada pelbagai jenama dihasilkan dan dilengkapi dengan spesifikasi terkini.
Amazfit merupakan antara jenama jam tangan pintar global terkemuka memperkenalkan peranti terbaharunya, GTR 3 Pro.
Ia membawakan pelbagai ciri kesihatan, kecergasan dan gaya hidup yang inovatif dan dipaparkan dalam aplikasi Zepp OS.
Peranti ini turut dilengkapi dengan paparan ultra HD AMOLED 1.45 yang memberikan visual mempesonakan.
Melalui peranti ini juga, pengguna boleh mengesan kadar kepekatan oksigen dalam darah, kadar tekanan serta pernafasan.
Jam tangan pintar ini juga sesuai digunakan bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat kerana boleh mengesan dan menjejak 150 jenis aktiviti sukan secara terbina dalaman.
Sekiranya pengguna terlupa untuk mengaktifkan mod sukan, peranti ini mempunyai ciri pengecaman pintar yang boleh mengesan sehingga lapan jenis sukan popular.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan bateri berkapasiti 450mAh dan mampu bertahan sehingga 30 hari dalam mod penjimatan, 12 hari untuk penggunaan biasa dan 35 jam dengan pengaktifan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) sepanjang masa.
Selain itu, mikrofon dan pembesar suara dibina pada jam tangan pintar ini bagi membolehkan pengguna menjawab panggilan dengan menyambungkannya kepada telefon pintar.