fbpx

Kerjakan umrah berulang kali perlu permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEMAAH umrah perlu mengikuti SOP yang ditetapkan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

BERITA gembira diterima umat Islam di seluruh dunia terutamanya dari Malaysia selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan pintu masuk ke negara tersebut untuk ibadah umrah baru-baru ini selepas ditutup dalam tempoh lama akibat pandemik Covid-19.

Ibadah umrah kini boleh ditunaikan dalam norma baharu selepas kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk para jemaah.

Ini termasuk penggunaan aplikasi di telefon pintar bagi mendapatkan permit bagi melakukan umrah berulang kali dan solat berjemaah di Masjidil Haram.

Semua ini dilakukan demi kebaikan semua pihak dalam mengawal pandemik daripada terus menular dalam kalangan jemaah.
——————————————————————————————————————-
“KALI terakhir saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah adalah pada Februari 2020.

“Pada ketika itu, ibadah itu dilakukan sama seperti sebelumnya, kita boleh melaksanakan tawaf umrah pada bila-bila masa dan berulang kali,” jelas Saiful Alwi Mat Desa.

Sebelum ini, menjadi rutin Saiful Alwi yang juga Pengurus Besar (Operasi) di Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) untuk terbang ke Arab Saudi bagi menguruskan jemaah untuk mengerjakan umrah.

Namun setelah pandemik Covid-19 melanda dunia, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup pintu sempadan negara dan umat Islam di negara ini tidak dapat mengerjakan umrah di Mekah.

Kini setelah hampir dua tahun berlalu, walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik, umat Islam di negara ini boleh menarik nafas lega setelah kerajaan mengambil keputusan untuk membuka semula sempadan negara baru-baru ini.

Ia disertakan dengan dengan khabar gembira apabila kerajaan Arab Saudi turut membenarkan jemaah dari negara luar untuk mengerjakan umrah.

Saiful Alwi antara kumpulan terawal dari Malaysia yang berpeluang berbuat demikian apabila dia terbang ke Arab Saudi pada 16 Oktober lalu.

Menurutnya, pandemik Covid-19 menyebabkan umrah ditunaikan dalam norma baharu selepas Arab Saudi menetapkan beberapa peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).

“Sebelum ini, apabila tiba di Mekah kita boleh terus melakukan umrah pada bila-bila masa dan berulang kali. Tetapi kali ini, jemaah perlu mendapatkan permit umrah terlebih dahulu.”

“Sewaktu memohon visa untuk umrah dan diluluskan, kerajaan Arab Saudi akan menetap tarikh untuk kita melakukan tawaf umrah,” jelasnya.


PERMOHONAN permit untuk melakukan umrah dan solat berjemaah perlu dilakukan melalui aplikasi di telefon pintar.

Jelasnya, sewaktu visa umrahnya diluluskan, beliau mendapat permit dan tarikh untuk melakukan tawaf umrah pada 17 Oktober.

Namun dia masih belum dapat mengetahui slot waktu untuk melakukan tawaf tersebut.
Waktu untuk mengerjakan tawaf umrah hanya diketahui apabila tiba di Arab Saudi dan akan diuruskan oleh operator umrah di sana.

“Sewaktu tiba, wakil operator umrah memaklumkan bahawa slot waktu untuk saya melakukan tawaf umrah adalah dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.”

“Saya juga diberi kertas permit yang disertakan nama dengan kod bar dan kemudian dibawa ke Pintu Satu iaitu Pintu King Abdulaziz. Kertas permit itu perlu ditunjukkan kepada petugas masjid sebelum dibenarkan masuk untuk melakukan umrah,” jelasnya.

Tambahnya, laluan juga telah menjadi sehala dan perjalanan ketika melakukan tawaf dan saie juga lebih teratur berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi juga melonggarkan SOP apabila solat berjemaah di Masjidil Haram juga dibenarkan dalam kapasiti penuh.

“Untuk solat berjemaah sudah tiada lagi penjarakan fizikal dan saf solat antara makmum sudah dirapatkan.

“Namun, untuk solat jemaah juga perlu mendapatkan permit dan ia perlu dilakukan melalui aplikasi Eatmarna,” jelasnya.

JEMAAH yang ingin mengerjakan umrah perlu melakukan ujian RT-PCR terlebih dahulu di tanah air dan membawa bersama salinan keputusan apabila bertolak ke Arab Saudi.

Pada kali ini, jemaah yang ingin menunaikan umrah di Tanah Suci perlu memuat turun aplikasi Tawakkalna dan juga Eatmarna.

Aplikasi Tawakkalna berfungsi untuk memantau kesihatan dan pergerakan jemaah dan fungsinya hampir sama dengan aplikasi MySejahtera yang digunakan di Malaysia.

Aplikasi Eatmarna pula berfungsi bagi permohonan permit untuk ibadat umrah, ziarah Raudah, mengunjungi makam Rasulullah dan untuk solat lima waktu di Masjidil Haram.

“Dua aplikasi ini yang wajib jemaah muat turun ketika mengerjakan umrah.

Dalam pada itu, berbicara tentang proses untuk masuk ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah, Saiful Alwi menjelaskan, jemaah perlu melakukan ujian Real-time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terlebih dahulu di Malaysia.

Menurutnya, salinan ujian itu perlu dibawa bersama untuk rujukan pihak berkuasa.

“Setibanya di Arab Saudi, kita kena melalui laluan pemeriksaan kesihatan dan perlu menyerahkan salinan ujian itu kepada pegawai kesihatan bertugas.

“Setelah semakan dibuat, mereka akan meletakkan satu pelekat pengesahan dan kemudian kita akan melalui proses imigresen,” katanya.

Tambahnya, jemaah sudah tidak perlu melakukan ujian tersebut untuk kali kedua di Arab Saudi.

KINI tiada lagi penjarakan fizikal di Masjidil Haram.

Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah, semua pengunjung wajib memakai pelitup muka.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, pihaknya telah bersedia untuk membawa jemaah bagi mengerjakan umrah di Tanah Suci.

Menurutnya, setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembukaan semula sempadan negara, pihaknya melakukan persiapan sepatutnya.

“Pertama sekali, apa yang kita lakukan adalah memperbaharui perjanjian kami dengan operator umrah di Arab Saudi, seperti diwajibkan oleh kerajaan negara berkenaan.

“Selain itu, kita menghantar pegawai terlebih dahulu bagi melalui pengalaman norma baharu mengerjakan umrah agar jemaah yang kita bawa tidak berdepan sebarang masalah,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Arab Saudi, Noor Azlinda Abd. Aziz, 39, tidak melepaskan peluang untuk mengerjakan umrah baru-baru ini.

Menurutnya, kes harian pandemik Covid-19 di Arab Saudi kini semakin turun dan SOP untuk mengerjakanumrah semakin longgar.

SETIAP jemaah diberi masa selama tiga jam untuk melaksanakan umrah.

“Sebelum ini, selepas melakukan umrah, jemaah perlu menunggu selama 15 hari untuk memohon permit baharu untuk melakukannya buat kali kedua.

“Tetapi kini tidak lagi dan jemaah boleh memohon permit untuk mengerjakan umrah pada bila-bila masa melalui aplikasi Eatmarna,” jelasnya.

Ketika melakukan umrah, jemaah tidak dibenarkan untuk menyentuh atau mencium Hajarul Aswad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI