MANCHESTER – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyuarakan rasa terkejut selepas menyaksikan skuad kendaliannya membelasah Manchester United 5-0 pada saingan Liga Perdana England (EPL) di Old Trafford malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Mohamed Salah menampilkan aksi cemerlang apabila menjaringkan hatrik sementara dua lagi gol The Reds dijaringkan Naby Keita dan Diogo Jota.
Kemenangan itu turut menyaksikan Liverpool berada di kedudukan kedua liga untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu, Chelsea yang memiliki kelebihan satu mata ke atas mereka.
“Satu perlawanan yang cukup baik, keputusan menakjubkan untuk pasukan. Saya yakin keputusan ini akan menjadi salah satu aksi yang akan dikenang dalam sejarah kelab.
“Semua orang akan bercakap mengenainya bagi tempoh yang lama kerana ia sukar untuk diulangi. Keputusan yang cukup ‘gila’ tetapi kami tetap hormati pasukan lawan,” kata Klopp.
Pada masa sama, bekas pengendali Borussia Dortmund itu bersimpati dengan nasib yang menimpa pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer kerana berdepan tekanan cukup tinggi selepas perlawanan tersebut.
“Sudah tentu saya bersimpati dengan nasib beliau (Solskjaer) kerana saya juga tidak mahu berada dalam situasi tersebut. Kami mungkin bertuah, namun United tidak berada pada prestasi terbaik mereka,” ujarnya. – AGENSI