MELAKA – Penduduk Melaka meluahkan kelegaan dengan pengumuman larangan perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya dibuat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin.
Menurut Syamsul Khairee Anuar, 37, dia bersetuju dengan keputusan dibuat kerajaan demi memastikan tragedi penularan Covid-19 di Sabah gara-gara Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu tidak berulang.
“Saya sangat bersetuju dengan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) dibuat Kerajaan Pusat yang melarang perhimpunan pada PRN.
“Ini bukanlah waktu yang tepat sebenarnya untuk mengadakan kempen PRN, walaupun golongan dewasa telah mencecah 90 peratus vaksinasi, namun masih ramai kanak-kanak yang belum disuntik,” katanya.
Katanya, dia amat bersetuju tindakan kompaun dikenakan terhadap mana-mana jentera yang melanggar SOP sebagai bukti golongan ‘kayangan’ atau berpengaruh tidak terkecuali.
Sementara itu, Dhiya’ Zulhilmi, 29, turut meluahkan perkara sama dan mencadangkan agar proses PRN dijalankan secara online seperti telah diguna pakai dalam sistem pendidikan serta perniagaan sebelum ini.
“Parti-parti dan ahli politik perlu beralih kepada kempen secara dalam talian melalui persidangan video dan bersiaran secara langsung di media sosial serta menggunakan platform itu sepenuhnya untuk memberikan ceramah, ucapan dan taklimat.
“Kami bimbang kerana PRN Sabah membuktikan masih ramai ahli politik serta rakyat negara kita gagal mematuhi SOP,” katanya.
Mohd. Fairuz Salehan, 35, berkata, keputusan itu adalah tepat demi memastikan keselamatan rakyat negeri ini serta Malaysia secara keseluruhannya tidak terdedah dengan risiko tinggi penularan Covid-19. -K! ONLINE