fbpx

Ambil tindakan jika dakwaan Twitter edisi_siasatmy benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musa (kiri) dan tangkap layar dakwaan di laman Twitter tersebut berkenaan salah guna kuasa oleh pegawai kanan PDRM.

KUALA LUMPUR – Siasatan perlu dilakukan ke atas pendedahan yang dibuat di laman Twitter dikenali sebagai @edisi_siasatmy yang mendakwa segelintir pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dengan skandal rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, PDRM terlebih dahulu perlu mengesahkan sama ada dakwaan yang tular di media sosial itu benar atau sebaliknya sebelum tindakan lanjut dilakukan.

“Jika pegawai-pegawai yang didakwa itu benar-benar terlibat, PDRM perlu mengambil tindakan tegas bagi mengelak imej dan reputasi PDRM terus tercalar.

“Kesemua sumber maklumat itu perlu disiasat benar atau palsu. Pengendali Twitter itu juga ada memberi kenyataan kes yang sama turut melibatkan pengurusan tertinggi sebuah badan pencegah rasuah,” ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), di Alam Damai dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan oleh laman Twitter tersebut berkenaan skandal penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai dalam beberapa jabatan penguatkuasa di negara ini.

Beliau yang juga presiden MCCC menjelaskan, sekiranya dakwaan itu bercanggah dan palsu, pegawai-pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan itu boleh mengambil tindakan saman sivil.

“Daripada sudut perundangan, mereka boleh mengambil tindakan saman jika maklumat itu palsu, namun kalau benar semua bukti perlu dikumpulkan untuk menentukan sama ada jenayah itu benar berlaku atau sebaliknya,” ujarnya.

Terdahulu, pengendali laman Twitter dikenali sebagai @edisi_siasatmy membuat pendedahan yang mengejutkan dengan mendakwa terdapat pegawai tinggi PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa jabatan penguatkuasa lain terlibat dengan skandal rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan melindungi sindiket. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI