KANGAR – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta bagi menampung projek pengerukan sekali gus menyelesaikan masalah perairan cetek yang membelenggu pengendali perkhidmatan feri penumpang di Terminal Feri Kuala Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan serta Badan Bukan Kerajaan Perlis, Hamizan Hassan berkata, kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran itu akan dilaksanakan Jabatan Laut pada Disember ini menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan.
“Kami maklum mengenai masalah tersebut yang berpunca daripada fenomena alam semula jadi dan ia dilakukan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan secara berkala dalam tempoh dua tahun sekali sebelum ini.
“Selepas dikorek, alur pelayaran akan kembali cetek akibat mendapan dihanyutkan semula arus laut dan hulu sungai, justeru kita sedang melihat kemungkinan aktiviti pengerukan ini perlu dilakukan sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai mendapan lumpur yang menjejaskan pergerakan feri ke Langkawi selain menyukarkan pergerakan bot nelayan di perairan Kuala Perlis.
Difahamkan, projek pengerukan alur pelayaran pada hujung tahun ini meliputi kawasan sepanjang sembilan kilometer dengan kedalaman empat meter (m) serta lebar dasar seluas 70m yang dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
Sebagai rekod, projek pengerukan yang dilakukan pada tahun 2018 menelan belanja sebanyak RM17 juta pada kedalaman dua meter.
Menurut Hamizan, kerajaan negeri mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk membina terminal feri penumpang baharu di Kuala Perlis.
“Terminal itu akan dibina di lokasi semasa atau di lokasi baharu yang terletak di simpang tiga Lebuh Raya Kuala Perlis-Changlun,” katanya. -K! ONLINE