Oleh LIYANA RAMLI
IPOH – Isteri sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan mengakui mula merindui suami yang pergi secara mengejut semalam dan tidak menunjukkan masalah kesihatan yang serius.
Bahkan, suaminya itu sangat gembira sebelum pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
“Rasa rindu macam terkejut sebab dia sihat, masa itu dia sangat gembira.
“Pemergiannya secara mengejut,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini hari ini.
Hasmah berkata, sebelum meninggal Allahyarham Mamat ada memberitahu kepada kawannya bahawa dia sangat gembira mahu bertemu dengan dua orang kawan lama yang berjubah putih.
“Kita pun takut dan tertanya-tanya siapa mereka kerana kawannya pun tak nampak di mana orang yang berjubah putih itu,” katanya.
Ujarnya, suaminya tidak meninggalkan apa-apa pesanan kerana tidak mahu membuat dirinya risau tambahan kebelakangan ini Allahyarham Mamat sering bersendirian kerana sedang banyak menulis.
“Kebelakangan ini, dia banyak menulis dan jika dia menulis, kami faham dia tak mahu diganggu.
“Jika ada yang nak jumpa dia dan tak dapat jumpa, janganlah berkecil hati kalau tak dapat berjumpa kerana dia memang begitu ketika sedang asyik menulis,” katanya.
Sementara itu, Hasmah berkata, dia sangat berterima kasih pada Finas yang datang menziarahi keluarganya.
“Ini merupakan kali kedua Finas datang menziarahi kami, sebelumnya ketika Allahyarham Mamat sakit dua tahun lalu.
“Secara tidak langsung ini bermaksud Finas sangat menghargai kerja-kerja seni dan orang yang bekerja dalam bidang ini,” katanya. – K! ONLINE