fbpx

Tiada keistimewaan buat orang bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

LEBIH sebulan mendiamkan diri selepas berita mengenainya ditangkap oleh pihak Imigresen Thailand, nama Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat kini sensasi semula apabila usahawan itu dikhabarkan telah membawa diri ke Australia.

Bagaimanapun, saban hari timbul beberapa isu yang kurang enak didengari semenjak Sajat membuat kemunculan semula.

Daripada dakwaan dia kini lebih bebas dan boleh menjadi diri sendiri, hinggalah akhirnya Sajat mengaku dirinya merupakan ‘transgender’, bukanlah seorang wanita tulen atau khunsa seperti yang digembar-gemburkan sendiri sebelum ini.

Dapat dilihat, dakwaan Sajat itu telah diputar belit dan digunakan oleh pejuang-pejuang hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi menempelak pihak berkuasa negara ini kononnya tidak berlaku adil.

Sepatutnya, mana-mana pihak janganlah menangguk di air keruh sehingga kesalahan lain yang dilakukan seolah-olah terus dilupakan. Transgender ataupun tidak, Sajat sepatutnya berani berdepan dengan undang-undang dan sedar bahawa tindakannya itu bukan sahaja mencemarkan nama negara, malah bangsa serta agamanya sendiri.

Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, meskipun seseorang individu itu mengaku bahawa dia adalah golongan LGBT, itu tidak bermakna ada keistimewaan diberikan atas kesalahan yang mereka lakukan.

“Tidak boleh ada keistimewaan hanya kerana isu atau naratif transgender sehingga kita pejamkan mata dengan kesalahan-kesalahan lain sedangkan kesalahan itu tiada kena mengena dengan kesalahan syariah.

“Dia juga ada melakukan kesalahan lain seperti melanggar undang-undang Imigresen, menipu pegawai di sempadan negara dan isu yang menyebabkan dirinya bakal diisytihar mufis.

“Jadi, pada pihak yang mempertahankan individu itu semata-mata kerana isu transgender, apa mesej yang mereka mahukan,” katanya.

Rafidah Hanim berkata, jika dilihat di luar negara, ramai juga mula mempertikaikan golongan yang mengambil kesempatan dengan mengaku sebagai kumpulan LGBT semata-mata ingin mendapatkan kemaafan atas jenayah lain.

“Di Malaysia, dari segi hak asasi manusia, golongan LGBT sentiasa mendapat hak. Mereka dibenarkan bekerja, berniaga dan sebagainya. Kalau tidak, Sajat tidak akan ada perniagaan yang berjaya.

“Banyak negara lain yang lebih teruk layanan mereka terhadap golongan transgender seperti Brazil dan Amerika Syarikat yang kononnya menyokong golongan tersebut, namun rekod pembunuhan terhadap golongan transgender sangat tinggi,” ujarnya.

Sebelum ini juga, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menegaskan agar orang ramai dapat membantu dalam membimbing serta menasihati golongan itu.

Selain itu juga, banyak program-program telah diatur oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama kerajaan untuk membantu golongan transgender dan ia berjalan dengan baik tanpa mereka perlu berasa takut atau terancam.

Berbalik pada Sajat, sebenarnya tidak timbul isu dia tidak diberikan hak asasi manusia hanya kerana dia berpakaian wanita ataupun transgender.

Sebaliknya, pihak berkuasa juga telah banyak bertolak-ansur serta menggunakan budi bicara agar Sajat menyerah diri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI