fbpx

Tiada kerugian kepada negara tanpa Sajat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAJAT

ISU usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat mendapat liputan meluas merata-rata. Mungkin kisahnya tragis atau ia penuh drama. Jika boleh dibuat filem, mungkin ia boleh dinamakan sebagai “Escape From Malaysia”.

Daripada isu berpakaian seperti wanita, mendakwa dicabul ketika disoal siasat, takut dimasukkan ke dalam penjara lelaki, dikeluarkan waran tangkap, membuat umrah sebagai wanita, melarikan diri ke Thailand, ditahan pihak berkuasa Thailand, didakwa kesalahan imigresen Thailand, mendapat perlindungan pendatang, meminta suaka daripada Australia sehingga mendapat tempat di negara kangaroo itu.

Siap ada gambar rumah banglo yang dikatakan diberikan kepadanya selain taraf penduduk tetap. Setiap hari ada sahaja kisah mengenai Nur Sajat. Media juga tidak ketinggalan tumpang populariti Sajat. Dia pula pasti gembira mendapat liputan lebih besar daripada ahli politik, artis dan pelakon.

Pihak berkuasa Malaysia juga sebelum ini berusaha mengesan Sajat tetapi gagal. Mungkin Malaysia negara yang senang bolos. Lihat sahaja semua penyangak dalam kes 1MDB. Semua dapat keluar dan sehingga hari ini termasuk Jho Low hidup bebas. Siapa tahu ada perkhidmatan keluar dari Malaysia dengan mudah yang ditawarkan pihak tertentu.

Dalam perkongsian video ‘live’ di Facebook bersama Harith Iskander baru-baru ini Sajat menceritakan punca “penghijrahannya” dari Malaysia. Dia mendakwa mengalami kemurungan yang teruk dan menerima banyak tekanan.

Dia memikirkan bahawa apa yang perlu dilakukan adalah untuk menyelamatkan diri kerana bimbang berhadapan hukuman penjara dan dimasukkan ke dalam penjara lelaki.

Kalau kisah Sajat dibuat buku mungkin jualannya sebaik “Bercakap dengan Jin”. Tetapi itu mungkin dilihat sebagai bukan kewartawanan sebenar sedangkan setiap budaya dan bangsa mempunyai kepercayaan mitos masing-masing. Mana mungkin Hantu Kak Limah Balik Rumah meraih pungutan RM7.9 juta di belakang Ngangkung dan Khurafat: Perjanjian Syaitan.

Ada juga pihak masih berharap Sajat kembali. Ada pihak masih sanggup hendak beri nasihat kepadanya jika dia pulang. Ada juga yang mahu Sajat pulang supaya dapat membersihkan dirinya daripada semua tuduhan.

Sebenarnya menjadi hak mana-mana warganegara untuk meninggalkan negara asal dan berpindah ke negara lain. Ramai lagi rakyat negara ini telah berhijrah, sebahagian besar kerana faktor ekonomi. Mereka dapat cari kehidupan lebih baik berbanding di Malaysia.

Tiada apa yang boleh menghalang seseorang daripada menggugurkan kewarganegaraan masing-masing dan memilih negara lain. Dalam kes Sajat, negara barat lebih mudah memberi perlindungan atas alasan hak kemanusiaan seseorang ditindas atau kebebasan untuk mengamalkan cara hidup yang dikehendaki.

Persoalannya, adakah kehilangan Sajat satu kehilangan besar kepada negara? Bukankah ribuan profesional, doktor, pendidik, penyelidik, ahli perniagaan memilih menunjukkan kepakaran mereka di luar negara. Mereka ini lebih penting kepada negara. Sajat hanya seorang daripada 32 juta rakyat yang jika tiada sekalipun, tidak akan kurangnya negara ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI