fbpx

LHDN gagal dapat penghakiman terus saman anak Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dalam permohonan mendapatkan penghakiman terus berhubung saman terhadap anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bagi menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Penghakiman terus ialah kes diputuskan melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas mendapati afidavit LHDN sebagai plaintif tidak mengesahkan bahawa Nooryana Najwa tidak mempunyai merit dalam pembelaannya.

“Selain itu, berhubung isu sijil mengikut Seksyen 142 Akta Cukai Pendapatan, tiada bukti menunjukkan surat turun kuasa bagi menandatangani sijil berkenaan diberikan oleh Ketua Pengarah LHDN kepada Ketua Penolong Pengarah bahagian guaman LHDN,” katanya dalam penghakimannya.

Dalam prosiding tersebut, Peguam kanan Norhisham Ahmad dan Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN manakala Nooryana sebagai defendan diwakili Peguam Wee Yeong Kang dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 September depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelum ini, LHDN selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai tahun lalu dengan menamakan Nooryana Najwa, 32, sebagai defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

LHDN mendakwa hingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang terhutang, termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.

Oleh itu, LHDN menuntut daripada defendan jumlah RM10,335,292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI